Skip to main content

Dunia

Serangan, kemarau akibat El Nino burukkan krisis kemanusiaan di Sudan - PBB

OCHA menegaskan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa mewajibkan perlindungan terhadap orang awam, petugas kemanusiaan dan infrastruktur awam. - Gambar fail
OCHA menegaskan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa mewajibkan perlindungan terhadap orang awam, petugas kemanusiaan dan infrastruktur awam. - Gambar fail

Advertisement

NEW YORK: Serangan udara, serangan dron dan kemarau akibat fenomena El Nino terus memburukkan penderitaan penduduk awam di wilayah Darfur dan Kordofan di Sudan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, lapor Xinhua.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) menyuarakan kebimbangan terhadap serangan udara yang meragut nyawa orang awam, ketika kenaikan harga barang dan kemarau semakin memburukkan masalah kelaparan serta kesukaran hidup di seluruh negara itu.

Menurut OCHA, serangan udara di kawasan Tina, negeri Darfur Utara pada Selasa mengorbankan lima orang awam, termasuk dua anggota kumpulan sukarelawan yang dikenali sebagai Bilik Tindak Balas Kecemasan, selain mencederakan ramai lagi.

Serangan udara turut dilaporkan menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam di Al Fula, ibu negeri Kordofan Barat, serta kawasan Al Idia dan Abu Zabad.

Pada Isnin, serangan dron dilaporkan mengenai dua lokasi di Kadugli, ibu negeri Kordofan Selatan, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang awam dan mencederakan beberapa yang lain.

OCHA menegaskan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa mewajibkan perlindungan terhadap orang awam, petugas kemanusiaan dan infrastruktur awam.

"Pertempuran juga dilaporkan menyebabkan kenaikan harga bahan api di beberapa kawasan di Kordofan dan Darfur, yang dijangka meningkatkan harga barangan serta menjadikan keperluan asas semakin sukar dibeli," menurut OCHA.

Sementara itu, Penyelaras Kemanusiaan PBB di Sudan Denise Brown berkata kekurangan hujan yang serius terus meningkatkan keperluan bantuan kemanusiaan, khususnya di Darfur dan Kordofan.

Beliau berkata bantuan makanan, air bersih, kemudahan sanitasi serta perkhidmatan kesihatan amat diperlukan, selain sokongan kepada petani menjelang musim penanaman musim sejuk.

PBB bersama rakan kemanusiaannya sedang bersiap sedia memperluas bantuan bagi menyelamatkan nyawa di kawasan paling terjejas di Darfur dan Kordofan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Bagaimanapun, kekurangan dana yang serius dikhuatiri menjejaskan keupayaan untuk memenuhi keperluan bantuan yang semakin meningkat.

Brown memberi amaran bahawa tanpa pembiayaan tambahan segera, stok bekalan makanan untuk operasi kemanusiaan dijangka kehabisan menjelang awal tahun depan, sekali gus menyebabkan keluarga yang memerlukan tidak lagi menerima bantuan penting.

OCHA turut memberi amaran bahawa rakyat Sudan tidak mampu berdepan satu lagi krisis dan menggesa pihak penderma meningkatkan sumbangan mereka dengan segera.

"Dengan berbaki kurang tiga bulan sebelum akhir tahun, pelan tindak balas kemanusiaan Sudan hanya menerima pembiayaan lebih sedikit daripada 46 peratus, iaitu AS$1.32 bilion daripada hampir AS$2.9 bilion yang diperlukan," menurut pejabat itu.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement