Skip to main content

Malaysia

Keldai dadah: Sindiket umpan pelancongan mewah, upah lumayan

Hussein berkata berdasarkan rekod, sebanyak 37 daripada 72 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah bagi tempoh Jan hingga 15 Okt lepas tidak mempunyai rekod jenayah lampau. - Gambar fail/Bernama
Hussein berkata berdasarkan rekod, sebanyak 37 daripada 72 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah bagi tempoh Jan hingga 15 Okt lepas tidak mempunyai rekod jenayah lampau. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tawaran melancong ke luar negara secara percuma dengan kemudahan mewah serta upah lumayan antara umpan sindiket penyeludupan dadah untuk merekrut individu sebagai keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata sindiket turut menawarkan pekerjaan dengan gaji yang tinggi dan peluang memperoleh pendapatan dengan mudah bagi menarik individu membawa bagasi atau barangan bagi pihak mereka.

Beliau berkata mangsa lazimnya didekati melalui media sosial, kenalan peribadi atau individu yang telah berjaya memperoleh kepercayaan mereka, termasuk mempunyai masalah hutang dan terdesak dengan kos kehidupan.

“Tawaran yang kelihatan menarik khususnya peluang melancong ke luar negara dengan kemudahan mewah dan ganjaran kewangan yang lumayan boleh menjadi strategi untuk memperdaya individu supaya bersetuju membawa bagasi atau barangan bagi pihak lain tanpa menyedari risiko sebenar yang bakal dihadapi,” katanya kepada Bernama.

Hussein berkata individu yang direkrut turut diyakinkan bahawa mereka boleh melepasi semua pemeriksaan keselamatan tanpa masalah.

Beliau berkata tahap kesedaran individu yang terlibat dalam penyeludupan dadah berbeza mengikut kes, dengan ada yang mendakwa diperdaya tanpa mengetahui kandungan sebenar barangan dibawa, dan ada juga yang mengetahui perbuatan itu menyalahi undang-undang tetapi tetap meneruskannya demi ganjaran kewangan dan kemewahan yang ditawarkan.

“Setiap dakwaan akan diteliti secara objektif dan dinilai berdasarkan bukti yang diperoleh, termasuk rekod komunikasi, transaksi kewangan serta maklumat perjalanan.

“JSJN tidak membuat kesimpulan secara umum bahawa semua keldai dadah ialah mangsa penipuan atau bahawa semuanya terlibat secara sedar sebaliknya penentuan dibuat berdasarkan fakta dan bukti bagi setiap kes,” katanya.

Hussein berkata berdasarkan rekod, sebanyak 37 daripada 72 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah bagi tempoh Jan hingga 15 Okt lepas tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata penggunaan individu tanpa rekod jenayah lampau sebagai keldai dadah bukanlah modus operandi baharu, sebaliknya strategi yang telah lama digunakan sindiket untuk merekrut individu daripada pelbagai latar belakang.

Bagaimanapun, beliau berkata kaedah perekrutan dan manipulasi itu terus berkembang, termasuk menerusi media sosial, aplikasi komunikasi serta rangkaian kenalan yang dipercayai.

“Perlu ditegaskan bahawa ketiadaan rekod jenayah lampau tidak semestinya membuktikan seseorang itu tidak mengetahui penglibatannya atau tidak pernah terlibat (dengan dadah pengedaran dadah).

“Tahap pengetahuan, niat dan peranan setiap individu hendaklah ditentukan berdasarkan hasil siasatan serta bukti yang diperoleh yang sentiasa berkembang termasuk melalui media sosial, aplikasi komunikasi serta rangkaian kenalan yang dipercayai,” katanya.

Pada masa sama, beliau menolak tanggapan bahawa individu tanpa rekod jenayah boleh melepasi pemeriksaan dengan mudah kerana pengesanan pihak berkuasa turut mengambil kira maklumat risikan, corak perjalanan, tingkah laku dan petunjuk lain yang berkaitan.

Dalam usaha membanteras kegiatan itu, Hussein berkata JSJN bukan sahaja menumpukan perhatian kepada pembawa dadah, malah berusaha mengenal pasti dan menjejaki keseluruhan rangkaian sindiket termasuk perekrut, penyelaras perjalanan, pembiaya serta dalang yang mengawal dan meraih keuntungan daripada kegiatan berkenaan.

Beliau berkata maklumat hasil tangkapan akan dikembangkan menerusi analisis risikan dan siasatan lanjut termasuk analisis rekod komunikasi serta transaksi kewangan, pemetaan hubungan antara suspek dan pertukaran maklumat dengan agensi penguatkuasaan luar negara.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungan sebenar, terutama jika dijanjikan upah lumayan bagi tugasan yang kelihatan terlalu mudah.

“Setiap tangkapan keldai dadah akan memusnahkan kehidupan mereka, kerjaya dan risiko dipenjarakan bagi tempoh yang sangat lama,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penahanan 72 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah baru-baru ini, Hussein mendedahkan rampasan keseluruhan melibatkan kira-kira 1,704 kilogram dadah bernilai RM81.76 juta.

Beliau berkata sebanyak 48 kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan yang melibatkan tangkapan 57 lelaki dan 15 wanita.

“Thailand mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi, iaitu 19 orang, diikuti Indonesia (16), Taiwan dan Singapura (masing-masing lapan), Jepun (lima), Filipina (empat), India dan Hong Kong (masing-masing tiga), Macau (dua), manakala Korea Selatan, Nigeria, Maldives dan Sri Lanka masing-masing seorang,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement