GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminda beberapa peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Tempat Inap Persendirian (TIP) 2026 termasuk meningkatkan had maksimum bilik kepada 10 berbanding lima sebelum ini serta mengurangkan kadar fi berkuat kuasa 1 Jan 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata pindaan itu diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 19 Okt dan kini dalam proses pewartaan.
“Pindaan itu dibuat susulan maklum balas pengusaha dan pihak berkepentingan selepas UUK tersebut berkuat kuasa pada 1 Ogos.
“Pindaan ini bertujuan memastikan kepentingan semua pihak, khususnya penduduk setempat terus terpelihara selain memperjelas mekanisme kawal selia pengoperasian TIP di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Antara pindaan utama ialah menetapkan fi lesen pada kadar tetap RM500 setahun bagi setiap unit TIP berbanding RM1,000 setahun bagi unit hingga tiga bilik sebelum ini.
Fi TIP turut distruktur semula mengikut bilangan bilik, iaitu RM400 bagi satu bilik, RM600 (dua bilik), RM800 (tiga bilik), RM1,000 (empat bilik) dan RM1,800 bagi premis mempunyai lima hingga 10 bilik setahun.
H’ng berkata struktur baharu itu menjadikan fi bagi premis dengan satu hingga empat bilik lebih rendah, selain memastikan kadar yang dikenakan lebih munasabah mengikut skala operasi.
Beliau berkata tafsiran TIP turut diperjelas bagi membezakannya daripada hotel berdasarkan sifat, kegunaan dan kaedah pengoperasian bagi mengelakkan premis hotel menukar kategori untuk mengelak syarat pelesenan.
Pelaksanaannya bermula 1 Jan 2027, menurut beliau memberikan ruang kepada pihak berkaitan untuk membuat persediaan selain pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dapat memperhalusi garis panduan serta prosedur pengoperasian.
H’ng menegaskan pindaan itu tidak bermaksud kerajaan negeri melonggarkan kawal selia kerana pengusaha masih perlu mematuhi syarat pelesenan dan peraturan yang berkuat kuasa.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Inap Desa/Penginapan Jangka Pendek Malaysia (Cawangan Pulau Pinang) Lydia Tan menyambut baik pindaan itu, khususnya pengurangan kadar fi serta menghargai kesediaan kerajaan negeri dalam mendengar pandangan industri.
Beliau juga berharap dialog antara persatuan dan kerajaan negeri dapat diteruskan untuk kebaikan bersama.
-- BERNAMA