KUALA LUMPUR: Situasi jerebu negara menunjukkan perubahan apabila Johor menambah satu lagi kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, menjadikan jumlah keseluruhan stesen terjejas meningkat kepada 18 setakat 6 petang ini.
Pasir Gudang di Johor menjadi kawasan terbaharu merekodkan bacaan tidak sihat selepas IPU meningkat tujuh mata kepada 105 berbanding 98 pada 5 petang tadi.
Di Negeri Sembilan, satu stesen mencatatkan penurunan kecil satu mata kepada 158 namun masih merekodkan bacaan tertinggi negara bersama Batu Muda di Kuala Lumpur dan Seremban yang masing-masing kekal pada 157.
Di Selangor, sebahagian besar stesen pemantauan di Lembah Klang menunjukkan trend pemulihan apabila Shah Alam mencatatkan penurunan 14 mata kepada 132 berbanding 146 sejam sebelumnya.
Johan Setia dan Klang turut mencatatkan penurunan kepada masing-masing 154 dan 156.
Bagaimanapun, Petaling Jaya kekal pada 152 manakala Banting meningkat sembilan mata kepada 136.
Di Johor, Larkin mencatatkan peningkatan ketara apabila bacaan IPU melonjak 36 mata kepada 140 berbanding 104 pada jam sebelumnya.
Putrajaya menunjukkan trend pemulihan dengan bacaan IPU menurun enam mata kepada 106. Bacaan yang sama turut direkodkan di stesen IPD Serian, Sarawak, selepas susut 11 mata daripada 117 sebelum ini.
Bagi stesen terjejas lain di pantai barat dan selatan Semenanjung, Bandaraya Melaka kekal pada 154 manakala Bukit Rambai, Batu Pahat dan Tangkak masing-masing merekodkan bacaan 153.
Alor Gajah pula meningkat 15 mata kepada 121.
Di Sarawak, Sri Aman kekal pada bacaan tidak sihat 152 tanpa perubahan berbanding sejam sebelumnya.
Sementara itu, Port Dickson di Negeri Sembilan terus berada dalam kategori sederhana dengan bacaan 99, sama seperti Cheras di Kuala Lumpur.
Secara keseluruhan, baki 50 stesen pemantauan IPU di seluruh negara mencatatkan bacaan sederhana dan baik.
Langkawi di Kedah serta Kemaman di Terengganu merekodkan bacaan terendah iaitu 45, manakala Besut, Terengganu mencatatkan bacaan 50.