Skip to main content

Dunia

Singapura bentang rang undang-undang hukum pemandu pegang telefon, perketat peraturan memandu mabuk

41643539159_pemandumabukgener.jpg
MHA berkata rang undang-undang itu juga akan mengetatkan had alkohol yang ditetapkan untuk memandu dalam keadaan mabuk bagi memperkukuh pencegahan dan meningkatkan keselamatan jalan raya. -Gambar hiasan
Advertisement

SINGAPURA: Singapura memperkenalkan rang undang-undang untuk meminda Akta Lalu Lintas Jalan Raya 1961 (RTA), yang merangkumi hukuman bagi pemandu memegang telefon bimbit semasa memandu dan mengetatkan had alkohol ditetapkan untuk memandu dalam keadaan mabuk.

Rang Undang-Undang Lalu Lintas Jalan Raya (Pindaan Pelbagai) telah dibentangkan di parlimen pada Selasa oleh Menteri Negara Kanan Hal Ehwal Dalam Negeri Sim Ann.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA), rang undang-undang itu akan menghukum pemandu yang memegang peranti komunikasi mudah alih itu dan berada pada tangan mereka semasa memandu justeru menghapuskan keperluan untuk membuktikan bahawa pemandu mengendalikan peranti tersebut.

Beliau berkata undang-undang semasa mengenai kesalahan itu hanya boleh dikuatkuasakan secara manual, kerana polis trafik mesti mengesahkan bahawa pemandu mengendalikan peranti itu.

"Sebaliknya, ia akan menjadi satu kesalahan selagi pemandu memegang peranti komunikasi mudah alih di tangannya semasa kenderaan bergerak, kerana ini berbahaya dan mengurangkan kemungkinan pemandu akan fokus di jalan raya.

"Pindaan ini juga akan membenarkan polis trafik menguatkuasakan kesalahan menggunakan kamera atau berdasarkan bukti fotografi atau videografi yang dikemukakan oleh orang awam, dan meningkatkan pengesanan kesalahan sedemikian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, MHA berkata rang undang-undang itu juga akan mengetatkan had alkohol yang ditetapkan untuk memandu dalam keadaan mabuk bagi memperkukuh pencegahan dan meningkatkan keselamatan jalan raya.

Di bawah perubahan yang dicadangkan, had alkohol yang sah untuk ujian nafas akan diturunkan daripada 35 mikrogram kepada 15 mikrogram setiap 100 mililiter nafas, manakala had alkohol dalam darah akan dikurangkan daripada 80 miligram kepada 30 miligram setiap 100 mililiter darah.

Rang undang-undang itu juga bertujuan untuk memperkukuh hukuman bagi pemanduan cuai dan berbahaya yang menyebabkan kecederaan parah, menyelaraskannya dengan lebih dekat dengan kesalahan yang mengakibatkan kematian.

Jika diluluskan, pesalah berulang yang disabitkan dengan pemanduan berbahaya boleh menghadapi hukuman penjara sehingga 13 tahun, manakala mereka yang didapati bersalah memandu cuai yang menyebabkan kecederaan parah boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga empat tahun.

-- BERNAMA

 

    

Must Watch Video

Advertisement