Singapura mengumumkan pembukaan semula operasi perniagaan terpilih bermula 12 Mei ini selepas dua bulan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Menteri Bagi COVID-19, Lawrence Wong berkata, kelonggaran berkenaan akan dilakukan dengan berhati-hati dan secara berperingkat bagi mengekang jangkitan COVID-19.

Antara premis yang dibenarkan beroperasi termasuk perniagaan dari rumah, pembuatan makanan, kedai runcit makanan terpilih, perkhidmatan dobi, gunting rambut dan pembekal makanan haiwan peliharaan.

Pada masa sama, kumpulan-kumpulan kecil pelajar juga akan dibenarkan kembali ke sekolah bermula 19 Mei ini.

Maklumat senarai berkenaan akan dikeluarkan dalam satu kenyataan di laman web dalam masa terdekat.

Singapura setakat ini merekodkan 17,548 kes COVID-19 dengan 16 kes kematian.

Negara republik itu mencatatkan dua kematian pertama mereka pada 21 Mac.