DUNIA
Slovenia kenakan larangan import barangan dari penempatan haram Israel

Tanja Fajon mengakui sifat simbolik larangan itu namun menyatakan ia adalah "tindak balas yang wajar" yang menghantar mesej jelas kepada Israel dan masyarakat antarabangsa. - Facebook Tanja Fajon
BELGRADE (Serbia): Kerajaan Slovenia pada Rabu mengumumkan larangan ke atas semua import dari penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki, hampir seminggu selepas mengenakan embargo senjata, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) yang memetik laporan Slovenia Times.
Menurut laporan itu, tindakan kerajaan Israel di wilayah yang diduduki itu "merupakan pelanggaran serius dan berulang terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa."
"Tindakan ini bukan sahaja membahayakan nyawa dan maruah penduduk Palestin tetapi juga asas kepada orde antarabangsa. Sebagai anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab, Slovenia tidak boleh dan tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada rantaian yang membolehkan atau menutup mata terhadap amalan sedemikian," menurut kenyataan itu.
Langkah itu merupakan tindak balas langsung terhadap dasar Israel, yang menurut Slovenia menjejaskan prospek keamanan yang berkekalan dan penyelesaian dua negara.Slovenia Times menyifatkan larangan import itu sebagai "lebih bersifat simbolik" kerana data rasmi menunjukkan import dari wilayah yang diduduki hanya berjumlah EUR30,000 pada 2024, kebanyakannya buah avokado.
Sementara itu, Menteri Luar Tanja Fajon mengakui sifat simbolik larangan itu namun menyatakan ia adalah "tindak balas yang wajar" yang menghantar mesej jelas kepada Israel dan masyarakat antarabangsa bahawa pelanggaran undang-undang antarabangsa mempunyai akibatnya.
Beliau berkata langkah itu meletakkan Slovenia dalam kalangan negara yang berprinsip, bertanggungjawab dan berani, serta memenuhi janji kerajaan untuk mengambil langkah-langkah selanjutnya terhadap Israel.
Beberapa kementerian telah diarahkan untuk meneliti kemungkinan melarang eksport ke penempatan haram Israel.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami