Skip to main content

Dunia

'Study in Malaysia' sasar permintaan tinggi pengajian luar negara di Algeria, Tunisia

Embassy of Malaysia in Algiers
Rizany Irwan berkata universiti-universiti Malaysia memahami bahawa keputusan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara memerlukan komitmen kewangan yang besar daripada keluarga, khususnya di rantau Maghreb. - Gambar Embassy of Malaysia in Algiers
Advertisement

HYDERABAD: Universiti-universiti Malaysia bersedia mempromosikan program akademik masing-masing di Tunisia dan Algeria bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pengajian tinggi antarabangsa di rantau Afrika Utara.

Mereka akan berinteraksi dengan bakal pelajar dan ibu bapa sempena "Study in Malaysia Education Fair" yang berlangsung dari 17 hingga 25 Julai di Sousse dan Tunis di Tunisia, serta Oran dan Algiers di Algeria.

Dianjurkan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS), sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang bertanggungjawab mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan antarabangsa, pameran itu akan mengetengahkan pelbagai kelebihan negara termasuk akses yang mudah, infrastruktur bertaraf dunia, kos pendidikan yang lebih berpatutan, persekitaran masyarakat majmuk Asia serta nilai-nilai Islam yang dikongsi bersama.

Duta Besar Malaysia ke Algeria, Rizany Irwan Muhamad Mazlan berkata universiti-universiti Malaysia memahami bahawa keputusan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara memerlukan komitmen kewangan yang besar daripada keluarga, khususnya di rantau Maghreb.

"Universiti-universiti Malaysia akan menjelaskan mengapa Malaysia wajar menjadi destinasi pilihan bagi melanjutkan pengajian tinggi.

"Interaksi bersama wakil universiti Malaysia juga akan memberikan keyakinan kepada bakal pelajar dari Afrika Utara bahawa mereka boleh mengikuti pengajian dalam persekitaran yang kondusif tanpa kebimbangan terhadap perbezaan budaya atau aspek keselamatan," katanya kepada Bernama.

Antara institusi yang menyertai siri jelajah promosi di Afrika Utara itu ialah Universiti Malaya (UM), Asia Pacific University (APU), UCSI University, University of Cyberjaya (UoC), Xiamen University Malaysia, Universiti Selangor (UNISEL), Multimedia University (MMU), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Brittania Language Centre.

Menurut Rizany, sebelum ini pelajar dari Algeria dan Tunisia lebih cenderung memilih negara-negara berbahasa Perancis untuk melanjutkan pengajian, namun usaha promosi Malaysia kini memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap pendidikan tinggi berbahasa Inggeris bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan global.

"Kami melihat permintaan yang semakin meningkat terhadap program pengajian berkualiti tinggi dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik), teknologi maklumat serta pengajian perniagaan," katanya.

Beliau berkata kadar penolakan visa yang tinggi dan peningkatan kos sara hidup di Eropah menyebabkan semakin ramai keluarga kelas pertengahan di Algeria dan Tunisia mencari destinasi alternatif yang menawarkan pendidikan berkualiti tanpa berdepan kerenah birokrasi serta beban kewangan yang tinggi.

"Perubahan landskap di Afrika Utara ini dijangka membantu universiti-universiti Malaysia meningkatkan pengambilan pelajar dari rantau berkenaan," kata Rizany.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement