Skip to main content

Dunia

Suhu melebihi 40 darjah Celsius direkodkan di Seoul, dua bandar lain

61728033528_Seoul.jpg
Ia merupakan kali pertama suhu melebihi 40 darjah Celsius di Seoul sejak 1 Ogos 2018, apabila ibu negara itu mencatatkan suhu 41.8 darjah Celsius. - Gambar fail
Advertisement

SEOUL: Suhu melebihi 40 darjah Celsius direkodkan di Seoul dan beberapa kawasan lain di Korea Selatan pada Jumaat, menurut agensi cuaca negara itu, sekali gus menyerlahkan keamatan gelombang haba ekstrem yang sedang melanda negara berkenaan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA), suhu mencecah 40.2 darjah Celsius di sebuah stesen cuaca automatik di daerah Nowon, utara Seoul, pada 3.28 petang.

Ia merupakan kali pertama suhu melebihi 40 darjah Celsius di Seoul sejak 1 Ogos 2018, apabila ibu negara itu mencatatkan suhu 41.8 darjah Celsius.

Gelombang haba yang berterusan turut menyebabkan suhu mencecah atau menghampiri 40 darjah Celsius di beberapa kawasan lain di negara itu, dengan daerah Deokpung di Hanam, yang terletak di tenggara Seoul, merekodkan suhu 40.7 darjah Celsius pada 2.32 petang.

Di bandar Gwangyang, kira-kira 300 kilometer di selatan Seoul, suhu melonjak kepada 40.2 darjah Celsius pada 2.37 petang, menurut KMA.

Suhu turut meningkat kepada 39.8 darjah Celsius di kaunti Yeongweol di wilayah Gangwon dan di Yeoju, wilayah Gyeonggi.

Purata bilangan hari gelombang haba di seluruh negara, iaitu apabila suhu maksimum pada waktu siang mencecah 33 darjah Celsius atau lebih, ialah 14.8 hari dari 1 Jun hingga Khamis, iaitu rekod keempat tertinggi bagi tempoh yang sama sejak rangkaian pemerhatian cuaca diperluas ke seluruh negara pada 1973.

Bilangan malam tropika, yang ditakrifkan sebagai malam dengan suhu minimum 25 darjah Celsius atau lebih, mencecah rekod 13 hari.

Gelombang haba ekstrem itu dijangka sedikit reda pada hujung minggu ini, namun keadaan panas terik dijangka berterusan.

Pada Sabtu, suhu minimum pada waktu pagi dijangka antara 21 hingga 26 darjah Celsius di seluruh negara, manakala suhu maksimum pada waktu siang dijangka antara 26 hingga 35 darjah Celsius, menurut KMA.

KMA memaklumkan bahawa amaran gelombang haba tahap serius yang dikeluarkan bagi Seoul serta kawasan timur dan barat daya negara itu akan diturunkan kepada amaran biasa bermula 6 petang Jumaat.

Seoul berada di bawah amaran gelombang haba peringkat tertinggi sejak Selasa.

-- BERNAMA-YONHAP

Must Watch Video

Advertisement