ISTANBUL: Purata suhu harian permukaan laut global mencapai paras tertinggi dalam rekod, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin, sambil memberi amaran bahawa lautan dunia semakin tertekan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Purata suhu di seluruh lautan global di luar kawasan kutub, meliputi kawasan antara 60 darjah lintang selatan dan 60 darjah lintang utara, mencapai 21.1°C (69.98°F) pada 22 Ogos, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 21.09°C yang dicatatkan pada Mac 2024.
Dapatan itu berdasarkan set data ERA5 yang dihasilkan oleh Pusat Ramalan Cuaca Julat Sederhana Eropah (ECMWF), dengan rekod era satelit yang boleh dipercayai bermula pada 1979.
Copernicus berkata waktu rekod itu dicatat amat ketara kerana suhu lautan global lazimnya memuncak pada Mac dan April selepas musim panas di Hemisfera Selatan.
Bacaan terbaru itu turut mengatasi suhu tertinggi sebelumnya bagi Ogos, iaitu 20.98°C pada 2023, dan berlaku selepas beberapa bulan sepanjang 2026 mencatat suhu permukaan laut pada paras rekod atau hampir rekod.
Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) menjangkakan fenomena El Nino akan menguat dalam beberapa bulan akan datang, manakala sistem ramalan bermusim Copernicus menunjukkan fenomena itu berpotensi mencapai tahap yang tidak pernah dilihat sejak beberapa dekad lepas.
"Rekod ini merupakan satu lagi isyarat jelas bahawa lautan semakin mengalami tekanan. El Niño menambah haba dalam sistem, namun ia berlaku di atas pemanasan yang didorong manusia selama beberapa dekad," kata Ketua Strategi Iklim ECMWF, Samantha Burgess.
"Apabila suhu lautan terus meningkat, risiko terhadap ekosistem marin dan komuniti pesisir turut meningkat," katanya, sambil menyatakan jumlah hari gelombang haba marin di seluruh dunia meningkat lebih tiga kali ganda sejak awal 1990-an.
Copernicus memberi amaran bahawa lautan yang lebih panas menyumbang kepada kenaikan paras laut melalui pengembangan terma serta meningkatkan kemungkinan dan keamatan gelombang haba marin, sekali gus mengancam terumbu karang, padang rumput laut, sektor perikanan dan akuakultur.
Suhu lautan yang lebih tinggi juga boleh membekalkan lebih banyak haba dan kelembapan ke atmosfera, sekali gus berpotensi meningkatkan hujan lebat serta keamatan sesetengah sistem ribut.
Selain itu, pemanasan lautan mengurangkan keupayaannya menyerap karbon dioksida daripada atmosfera, menurut laporan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU