GEORGE TOWN: Allahyarham Dr Chandra Muzaffar akan dikenang atas sumbangan beliau dalam memperjuangkan kesederhanaan, keadilan dan hak asasi manusia, serta komitmen beliau terhadap masa depan Malaysia.
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, menyifatkan Chandra sebagai seorang intelektual dengan pemikiran yang mendalam dan berprinsip, yang sentiasa bersedia untuk bersuara mengenai isu-isu penting negara.
"Saya berasa amat sedih dengan pemergian Dr Chandra Muzaffar. Saya mengenali beliau semasa saya menjadi wartawan di Pulau Pinang pada 1984, dan juga sebagai ahli Aliran, gerakan sosial yang diasaskan beliau.
"Beliau merupakan seorang tokoh yang memperjuangkan kesederhanaan sebagai satu prinsip untuk Malaysia," katanya kepada Bernama.
Wong berkata Chandra juga percaya pada (pendekatan) dialog serta kepentingan memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang.
Beliau berkata sumbangan dan idea Allahyarham akan terus menjadi sebahagian daripada wacana intelektual dan masyarakat awam negara.
Chandra, yang dilahirkan di Bedong, Kedah pada 10 Mac 1947, merupakan seorang ahli sains politik dari segi latar belakang pendidikan dengan memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang sains sosial daripada Universiti Singapura pada 1977.
Sebagai seorang penulis prolifik, beliau telah mengarang dan menyunting banyak buku, antaranya termasuk Islamic Resurgence in Malaysia (1987), Human Rights and the New World Order (1993), serta Rights, Religion and Reform (2002).
Chandra meninggal dunia pada usia 79 tahun semalam.
-- BERNAMA