Skip to main content

Malaysia

Perlis beri sumbangan RM46,000 kepada Muhammad Hafizuddin

Muhammad Hafizuddin meraih pingat emas acara angkat berat kategori 88kg lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345kg. - Gambar fail/BERNAMA
Muhammad Hafizuddin meraih pingat emas acara angkat berat kategori 88kg lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345kg. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis mengumumkan sumbangan RM46,000 kepada atlet angkat berat negara Muhammad Hafizuddin Roslin, 22, sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri susulan kemalangan jalan raya yang menimpanya baru-baru ini.

Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata sumbangan itu merangkumi Bantuan Prihatin Atlet secara sekali bayar sebanyak RM10,000 serta Elaun Sokongan Pemulihan Atlet berjumlah RM1,000 sebulan selama 36 bulan bermula Januari 2027 hingga Disember 2029.

“Sebagai tanda sokongan dan simbol keprihatinan terhadap Muhammad Hafizuddin, kerajaan negeri dengan berbesar hati mengumumkan sumbangan RM46,000 kepada beliau,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Perlis 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra di sini semalam.

Advertisement

Belanjawan bertemakan “Perlis Progresif: Memacu Pertumbuhan, Menjana Kemakmuran” itu mempunyai sembilan teras strategik antaranya, Ekonomi Makmur dan Berdaya Saing, Kesejahteraan Rakyat dan Kualiti Hidup, Modal Insan dan Bakat Masa Hadapan, serta Tadbir Urus Bestari dan Penyampaian Cekap.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Hafizuddin dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil kira-kira 11 malam pada 16 Nov lepas.

Advertisement

Akibat kemalangan tersebut beliau dilaporkan mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki, bahu dan kepala serta terpaksa menjalani prosedur pemotongan tangan kanan.

Muhammad Hafizuddin mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih pingat emas acara angkat berat kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.

Kejayaan itu turut menyaksikan beliau mencipta rekod kebangsaan baharu acara snatch menerusi angkatan 162 kilogram, selain melakar rekod baharu temasya Sukan Komanwel bagi kategori berkenaan.

Abu Bakar berkata pengorbanan dan keringat yang dicurahkan Muhammad Hafizuddin demi mengharumkan nama negeri dan negara tidak akan dilupakan.

“Seluruh Dewan yang mulia ini berdiri teguh di sisi beliau dengan iringan doa agar wira kebanggaan kita dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesembuhan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement