Skip to main content

Malaysia

Rasuah diwarisi generasi baharu jika pemimpin gagal tunjuk teladan - Penganalisis

Rasuah boleh menjadi budaya dan diwarisi generasi baharu jika pemimpin gagal menunjukkan teladan, menguatkuasakan undang-undang secara adil serta menyokong pelapor salah laku. - Foto hiasan
Rasuah boleh menjadi budaya dan diwarisi generasi baharu jika pemimpin gagal menunjukkan teladan, menguatkuasakan undang-undang secara adil serta menyokong pelapor salah laku. - Foto hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Amalan rasuah berpotensi diwarisi generasi baharu dalam sesebuah organisasi jika pemimpin gagal menunjukkan teladan serta tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu.

Penganalisis Jenayah Profesor Datuk Seri Dr Akhbar Satar berkata keadaan itu turut berlaku apabila mereka yang enggan terlibat dalam salah laku berkenaan tidak mendapat sokongan sewajarnya.

"Cabaran sebenar bukan sekadar memperbaharui sistem tetapi memperbaharui manusia yang mengendalikan sistem itu.

Advertisement

"Kepimpinan melalui teladan, keberanian politik dan penguatkuasaan tanpa pilih kasih merupakan kunci membanteras rasuah sistemik," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lepas yang menyifatkan rasuah di negara ini sebagai masalah sistemik yang memerlukan komitmen dan ketegasan berterusan semua pihak untuk membanterasnya, termasuk dengan membina kesedaran integriti dalam kalangan generasi muda.

Advertisement

Akhbar berkata rasuah yang berulang tanpa tindakan tegas boleh menyebabkan perbuatan itu dianggap biasa sehingga masyarakat dan organisasi tidak lagi melihatnya sebagai satu kesalahan.

Beliau berkata kepimpinan melalui teladan dan tindakan undang-undang tanpa pilih kasih penting bagi memastikan pegawai atasan tidak terlepas daripada tindakan hanya kerana mempunyai pangkat atau pengaruh.

Sementara itu, Penganalisis Jenayah dan Kriminologi Bebas Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata antara cabaran membanteras rasuah dalam pentadbiran ialah kewujudan rangkaian perlindungan dalaman apabila pihak yang mengetahui kegiatan itu cenderung untuk melindungi antara satu sama lain.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan usaha membanteras rasuah sukar dilakukan kerana pegawai mungkin takut melaporkan salah laku atau bimbang dikenakan tindakan.

“Rasuah yang sudah berakar umbi boleh menjadi sebahagian daripada prosedur tidak rasmi apabila sogokan digunakan untuk memudahkan permohonan, kontrak dan kelulusan,” katanya.

Bagi Presiden Pertubuhan Integriti dan Antirasuah Malaysia (INTRAS) Datuk Mohamad Fauzi Husin, setiap organisasi perlu memastikan semua pegawai tanpa mengira pangkat tertakluk pada peraturan dan tindakan yang sama.

"Jangan hanya berani mengambil tindakan terhadap pegawai bawahan tetapi mesti berani juga apabila siasatan melibatkan mereka yang mempunyai kuasa, kedudukan dan pengaruh," katanya.

Beliau berkata kelemahan kawalan dalaman perlu diperbaiki melalui audit integriti, penilaian risiko rasuah dan saluran aduan yang selamat bagi menggalakkan pegawai melaporkan salah laku.

Selain itu, Fauzi berkata pendidikan antirasuah perlu diterapkan sejak di bangku sekolah agar generasi muda bukan sahaja mengetahui bahaya amalan itu, tetapi berani menolak dan melaporkannya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement