KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggalakkan individu yang aktif secara fizikal agar memberi perhatian terhadap penjagaan diri, khususnya dalam memastikan tubuh mendapat nutrisi dan rehat yang mencukupi.
Menurutnya, aspek penjagaan diri tidak wajar dipandang ringan sama ada dalam kalangan atlet sukan ketahanan, individu yang bersukan secara santai mahupun mereka yang banyak bekerja di luar dalam keadaan cuaca panas.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri pelancaran rangkaian produk kesejahteraan CUURA Wellness baru-baru ini.
Syed Saddiq berkata, pengalaman menyertai IRONMAN Malaysia 2026 di Langkawi pada 21 November lalu mengukuhkan lagi kefahamannya mengenai kepentingan menjaga keperluan tubuh secara konsisten.
Beliau yang berjaya menamatkan cabaran berkenaan buat kali ketiga berturut-turut mencatat masa 12 jam 48 minit meskipun berdepan cuaca panas mencecah 36 darjah Celsius.
Menurutnya, cabaran itu bukan sekadar menguji ketahanan fizikal, malah menuntut perhatian terhadap aspek hidrasi, pemakanan dan proses pemulihan badan.
Syed Saddiq turut berkongsi bahawa beliau mengalami muntah dan kekejangan otot ketika menghampiri 20 kilometer terakhir perlumbaan sejauh 226 kilometer itu.
Pengalaman tersebut, katanya, menjadi peringatan bahawa persediaan yang menyeluruh amat penting bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti berintensiti tinggi.
Dalam majlis sama, rangkaian CUURA Wellness turut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha jenama tempatan itu memperluaskan fokus daripada penjagaan kulit kepada kesejahteraan harian.
Antara produk yang diperkenalkan termasuk minuman mengandungi elektrolit dan kreatin bagi menyokong keperluan individu aktif, selain produk berasaskan bahan tempatan seperti halia Bentong, madu tualang dan kunyit hitam.
Pengasas CUURA, Sarah Shahnor berkata, penekanan Syed Saddiq terhadap kepentingan menjaga tubuh mempunyai signifikan tersendiri memandangkan beliau berpengalaman dalam sukan ketahanan.
Menurutnya, rangkaian kesejahteraan yang diperkenalkan dibangunkan dengan mengambil kira keperluan harian pengguna yang mengutamakan penjagaan diri secara praktikal dan berterusan.
Ditubuhkan pada 2017, CUURA pada asalnya memberi tumpuan kepada produk penjagaan kulit untuk kulit sensitif sebelum memperluaskan penawaran kepada segmen kesejahteraan menerusi rangkaian CUURA Wellness.