KUALA LUMPUR: Skuad Speedy Tigress terpaksa mengalihkan tumpuan kepada perebutan tempat ketiga Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 selepas tewas 2-6 kepada tuan rumah India pada aksi separuh akhir di Kompleks Sukan Antarabangsa Barkheda Nathu, Bhopal, semalam.
India membuka tirai jaringan menerusi Mumtaz Khan pada minit ke-10 sebelum Navneet Kaur menggandakan kelebihan lapan minit kemudian, disusuli gol hasil pukulan sudut penalti Deepika pada minit ke-25.
Malaysia merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-27, namun Deepika dan Sunelita Toppo melebarkan kelebihan India menerusi pukulan sudut penalti masing-masing pada minit ke-30 dan ke-33.
Nuramirah Shakirah Zulkifli menjaringkan gol kedua skuad kendalian C.R. Kumar pada minit ke-52 sebelum Ishika melengkapkan kemenangan India menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-57.
Malaysia akan berdepan Jepun pada aksi penentuan tempat ketiga hari ini selepas pasukan itu tewas 0-1 kepada China dalam satu lagi aksi separuh akhir.
-- BERNAMA