Skip to main content

Malaysia

MediAsas berisiko pinggirkan warga emas, pesakit kronik – Pakar

MediAsas yang dijadualkan dilancarkan pada Januari 2027 menawarkan perlindungan insurans dan takaful perubatan secara sukarela, dengan had umur penyertaan sehingga 70 tahun dan perlindungan sehingga usia 85 tahun. - Gambar hiasan
MediAsas yang dijadualkan dilancarkan pada Januari 2027 menawarkan perlindungan insurans dan takaful perubatan secara sukarela, dengan had umur penyertaan sehingga 70 tahun dan perlindungan sehingga usia 85 tahun. - Gambar hiasan

Ringkasan AI

  • Pelan MediAsas dikritik kerana penetapan premium berdasarkan risiko individu berisiko meminggirkan warga emas dan pesakit kronik.
  • Pakar mencadangkan penarafan komuniti bagi mengelakkan diskriminasi terhadap golongan tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.
  • Struktur pelan MediAsas menimbulkan persoalan keterangkuman, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pelan insurans perubatan asas; MediAsas, yang dirangka bagi menyediakan perlindungan kesihatan lebih mampu milik berisiko meminggirkan golongan warga emas dan pesakit kronik susulan penggunaan mekanisme penetapan premium berdasarkan profil risiko individu.

Profesor Ekonomi dan Polisi Kesihatan, IMU University, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid berkata, pendekatan itu menyebabkan golongan yang lebih memerlukan perlindungan kesihatan terpaksa berdepan premium lebih tinggi atau batasan tuntutan bagi penyakit tertentu.

“Akibat daripada itu, MediAsas ini mendiskriminasikan golongan tua dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik.

Advertisement

“Sebenarnya, kita agak hairan kenapa Bank Negara Malaysia (BNM) masih lagi membenarkan (penyedia) insurans kesihatan melaksanakan penarafan berdasarkan risiko. Padahal, kaedah penarafan ini tidak lagi dibenarkan di kebanyakan negara-negara Eropah termasuk Australia,” katanya dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.

Presiden Persatuan Ekonomi Kesihatan Malaysia itu turut mencadangkan penggunaan pendekatan penarafan berdasarkan komuniti berbanding penarafan berdasarkan risiko bagi mengelakkan penetapan premium berdasarkan usia dan keadaan kesihatan individu.

Advertisement

Senada dengan beliau, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, MediAsas masih belum menjawab persoalan mengenai perlindungan kesihatan bagi golongan berusia 60 tahun ke atas.

Menurutnya, terdapat dalam kalangan warga emas yang berdepan risiko kenaikan premium insurans perubatan sehingga 200 peratus.

“Dan soalnya ialah bagaimana MediAsas akan melindungi mereka? Dan jawapan tidak diberikan sebenarnya,” katanya.

MediAsas yang dijadualkan dilancarkan pada Januari 2027 menawarkan perlindungan insurans dan takaful perubatan secara sukarela, dengan had umur penyertaan sehingga 70 tahun dan perlindungan sehingga usia 85 tahun.

Bagaimanapun, struktur pelan yang dicadangkan masih mengekalkan penetapan premium mengikut usia serta pengecualian terhadap penyakit sedia ada, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keterangkuman inisiatif berkenaan.

MediAsas turut mendapat perhatian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang pada 17 November lalu membangkitkan kebimbangan mengenai kemampuan golongan berpendapatan rendah mendapatkan perlindungan menerusi pelan tersebut. 

Dialog Poket Rakyat: MediAsas | Mampukah Bendung Kos Kesihatan Yang Meningkat?

Must Watch Video

Advertisement