STRASBOURG: Suruhanjaya Eropah merancang untuk melarang penggunaan media sosial oleh individu berusia di bawah umur 13 tahun, kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Saya sedar ramai yang menganggap kuasa syarikat teknologi gergasi terlalu besar dan mustahil untuk dikawal semula. Saya tidak bersetuju,” kata von der Leyen dalam ucapannya kepada anggota Parlimen Eropah di Strasbourg.
Di bawah rancangan itu, individu berusia 13 tahun ke atas akan dibenarkan mengakses media sosial dengan pengawasan ibu bapa, tetapi mereka hanya boleh membuka akaun peribadi apabila mencapai umur 15 tahun.
Kebanyakan platform media sosial utama sememangnya menetapkan umur minimum 13 tahun dalam terma dan syarat mereka. Bagaimanapun, pengawal selia EU berulang kali mengkritik platform berkenaan kerana gagal menguatkuasakan had umur berkenaan.
Rang undang-undang itu dijangka dibentangkan dengan lebih terperinci pada Khamis.
Parlimen Eropah dan negara anggota EU kemudiannya akan meneliti serta meminda cadangan tersebut. Proses untuk mencapai persetujuan mengenai versi akhir undang-undang itu mungkin mengambil masa berbulan-bulan, bahkan mungkin bertahun-tahun.
-- BERNAMA-dpa