ISTANBUL: Beberapa letupan kedengaran awal Isnin di bandar Tabriz, Barat laut Iran menandakan serangan pertama dilaporkan di kawasan itu sejak Amerika Syarikat (AS) melancarkan kempen ketenteraan terbaharunya terhadap negara itu, lapor Anadolu Ajansi memetik televisyen kerajaan Iran.
Televisyen kerajaan turut melaporkan beberapa letupan di Chabahar, wilayah Sistan dan Baluchestan di bahagian tenggara.
Agensi Berita Mehr turut melaporkan beberapa letupan di Dashti, wilayah Bushehr di selatan Iran, selain sekurang-kurangnya tiga letupan di Jask serta beberapa lagi di Sirik, kedua-duanya terletak di wilayah Hormozgan.
Sistem pertahanan udara Iran menembak jatuh sebuah dron musuh di selatan negara itu, manakala sistem berkenaan diaktifkan di Konarak, Sistan dan Baluchestan.
Sementara itu, Agensi Berita Tasnim melaporkan bahawa serangan AS ke atas Khormoj di wilayah Bushehr menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.
Tasnim turut melaporkan letupan berlaku di bandar Bandar Mahshahr dan Bandar Imam Khomeini di wilayah Khuzestan, barat daya Iran.
Perkembangan itu berlaku selepas Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) melancarkan gelombang baharu serangan terhadap Iran bagi malam kesembilan berturut-turut.
CENTCOM berkata kempen itu bertujuan melemahkan keupayaan ketenteraan Iran yang mengancam perkapalan di Selat Hormuz.
-- BERNAMA-ANADOLU