TOKYO: Agensi cuaca Jepun pada Sabtu menaikkan tahap amaran gunung berapi bagi Gunung Tokachi di Hokkaido, pulau utama paling utara Jepun, kepada tahap tiga daripada skala lima, sekali gus menyekat kemasukan ke kawasan gunung itu, lapor Kyodo News.
Ketika menaikkan amaran daripada tahap dua yang menyekat akses ke kawah, Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran bahawa letusan boleh berlaku dan menjejaskan kawasan dalam lingkungan kira-kira tiga kilometer dari kawah.
Agensi itu menyatakan bahawa gempa bumi kuat berhampiran gunung berapi berkenaan meningkat sejak Ogos, sambil memberi amaran kepada penduduk di Furano, Biei, Kamifurano, Minamifurano dan Shintoku mengenai kemungkinan abu dan batuan gunung berapi kecil terhambur keluar.
Ini merupakan amaran tahap tiga yang pertama bagi Gunung Tokachi, yang mengalami penggembungan tanah secara berterusan sejak Mac. Pelepasan gas gunung berapi meningkat sejak April, manakala letusan kecil berlaku pada Julai dan Ogos buat kali pertama sejak Februari 2004.
-- BERNAMA-KYODO