TAIPEI: Menteri Pertahanan Taiwan Chiu Kuo-cheng berkata pada Isnin kementeriannya telah berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai jenis sistem senjata yang diperlukan, jika AS memutuskan untuk membekalkan bantuan ketenteraan kepada Taiwan di tengah-tengah ancaman ketenteraan China yang semakin meningkat.

Agensi Berita Pusat (CNA) melaporkan Chiu dalam perbincangan perundangan mengesahkan laporan Reuters minggu lepas bahawa pentadbiran Presiden AS Joe Biden merancang untuk menghantar bantuan ketenteraan bernilai AS$500 juta ke Taiwan di bawah program kecemasan.

Program itu sama seperti yang digunakan untuk membantu Ukraine mempertahankan diri terhadap pencerobohan Rusia.

Chiu berkata dalam perbicangan itu, Taiwan telah berbincang dengan AS sejak Januari untuk memutuskan senarai keutamaan sistem pensenjataan menerusi geran kecemasan AS$500 juta.

Geran itu akan menyediakan senjata percuma kepada Taiwan dengan mengambil kira jumlah tertunggak semasa dalam bekalan senjata AS yang telah dibeli oleh Taiwan, namun tidak akan mengubah pesanan tersebut dalam apa-apa cara, katanya.

Sejak tahun lepas, Taiwan mengadu mengenai kelewatan dalam penghantaran senjata yang dibeli dari AS.

Minggu lepas, Chiu berkata kementeriannya telah dimaklumkan bahawa penghantaran dua pesawat pejuang F-16V pertama daripada 66 pesawat Amerika, ditangguhkan selama hampir setahun disebabkan faktor berkaitan wabak COVID-19.

Menurut Ahli Kongres Republikan Young Kim dari California, Washington menanggung tunggakan artikel pertahanan bernilai AS$21 bilion yang telah dipersetujuinya untuk dijual kepada Taiwan.

Jabatan Negara AS sebelum ini berkata tunggakan itu disebabkan kapasiti pengeluaran semasa industri pertahanan negara yang terhad dan bukan disebabkan ia mengutamakan sokongan untuk Ukraine.

--BERNAMA-CNA