Seorang pekerja sebuah restoran yang terletak di Kota Prabumulih, Sumatera Selatan, Indonesia ditahan polis selepas didapati sedang merakam aksi rakan sekerja wanita sedang mandi di tandas restoran tersebut.

Memetik daripada laporan portal Kompas, suspek yang dikenali sebagai HK, 26, telah ditahan pihak polis Prabumulih dan dikenakan hukuman penjara 12 tahun.

HK mengakui perbuatannya yang merakam secara diam-diam menggunakan kamera video lasak jenis GoPro semasa wanita itu sedang mandi pada pukul 7 pagi di situ.

Berdasarkan kenyataan HK kepada pihak polis, dia sudah lama menyimpan perasaan terhadap wanita tersebut akan tetapi tidak mempunyai keberanian untuk meluahkan perasaannya dan disebabkan itu dia nekad untuk curi-curi merakam wanita itu sedang mandi.

“Sebenarnya saya suka pada wanita itu, tetapi tidak berani untuk mengakuinya secara depan-depan kerana abangnya juga bekerja di restoran itu.

“Saya cuma merakam sekali sahaja dan menyimpannya di dalam kad memori,” tambah HK.

Menurut jurucakap polis, Abdur Rahman, penahanan itu dilakukan selepas mangsa sendiri yang melaporkan kepada pihak polis kerana dia mendapati bahawa video dirinya sendiri berada di dalam kad memori HK.

Ini kerana, sebelum ini rakan kepada mangsa pernah meminjam kad memori lelaki tersebut dan memang dapat dilihat bahawa terdapat sebanyak lima buah video mangsa di dalam kad itu.

Ekoran itu, rakan mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan HK, dia segera memberitahu mangsa untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis yang kemudiannya menangkap lelaki itu lalu di tempat kerjanya.

Disebabkan kesalahan itu, HK disabitkan di atas kesalahan Fasal 29 dan Fasal 35 Undang-Undang (44) 2012 kerana terlibat dengan jenayah pornografi dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 tahun. - Agensi