DUNIA
Tapak nuklear Iran tidak boleh dimusnahkan dengan satu serangan - Penasihat IRGC

IRGC menegaskan, tapak-tapak nuklear Iran tidak boleh dimusnahkan hanya dengan satu serangan atau beberapa letupan, sambil mendakwa Amerika Syarikat telah gagal mencapai matlamat ketenteraannya di negara itu. - Gambar Reuters
TEHRAN: Seorang penasihat kanan kepada Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menegaskan, tapak-tapak nuklear Iran tidak boleh dimusnahkan hanya dengan satu serangan atau beberapa letupan, sambil mendakwa Amerika Syarikat telah gagal mencapai matlamat ketenteraannya di negara itu.
Brigedier Jeneral Ebrahim Jabbari, yang juga penasihat kepada IRGC berkata demikian dalam satu temu bual bersama agensi berita Tasnim yang berhaluan pro-kerajaan, pada Isnin.
“Tapak nuklear Iran tidak boleh dimusnahkan dengan satu serangan dan beberapa letupan,” katanya merujuk kepada serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas tapak nuklear Fordow pada hujung minggu lalu.
Beliau turut mengkritik Presiden AS, Donald Trump, yang sebelum ini berjanji akan "menyelesaikan kerja" di Iran dan bertindak lebih agresif terhadap negara itu.“Trump kata dia akan selesaikan semuanya di Iran dan akan turun campur tangan. Jadi, apa yang berlaku sekarang? Kamu bunuh beberapa komander, tetapi komander-komander baru terus muncul,” ujar Jabbari lagi.
“Kamu cakap kamu ada dron dan mikro-dron paling canggih, tapi kamu gagal. Kamu juga cakap rakyat Iran akan berpecah, tapi yang berlaku adalah sebaliknya - kesatuan rakyat Iran makin kukuh!”
Tambahnya lagi, “Tiada siapa perlu ragu bahawa Amerika Syarikat gagal dalam serangan ke atas Fordow, dan mitos mengenai bom penembus kubu kini musnah.”
IRGC merupakan sayap elit dalam struktur ketenteraan Iran yang ditubuhkan selepas Revolusi Islam 1979.
Pada 2019, Amerika Syarikat telah menyenaraikan pasukan itu sebagai kumpulan pengganas, satu tindakan yang mempertingkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara.
Kenyataan Jabbari hadir ketika hubungan antara Teheran dan Washington kembali memanas susulan beberapa siri serangan balas rentas sempadan, termasuk ke atas kemudahan berkaitan nuklear dan ketenteraan. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami