[TERKINI] Misi FFC: Sembilan aktivis Malaysia selamat tiba di KLIA
![[TERKINI] Misi FFC: Sembilan aktivis Malaysia selamat tiba di KLIA [TERKINI] Misi FFC: Sembilan aktivis Malaysia selamat tiba di KLIA](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-10/51760260945_TBFFCPULANG.jpg)
Sembilan rakyat Malaysia yang juga akvitis Freedom Flotilla Coalition (FFC) telah selamat mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). -Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
SEPANG: Sembilan rakyat Malaysia yang juga aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) selamat mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4 petang Ahad.
Ringkasan AI
- Sembilan aktivis Malaysia misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) selamat tiba di KLIA pada jam 4 petang Ahad, disambut keluarga, aktivis MyCARE dan pemimpin negara
- Ketibaan mereka menarik perhatian selepas kapal misi diceroboh tentera Israel di perairan antarabangsa dan aktivis ditahan sebelum dibebaskan secara berperingkat
- Antara aktivis yang pulang termasuk wartawan Astro AWANI Syafik Shukri, Dr Fauziah Mohd Hasan dan Prof Mohd Alauddin Mohd Ali, yang berlepas dari Istanbul pada Sabtu
Kesemua mereka memulakan perjalanan pulang ke tanah air dari Istanbul pada jam 6 petang Sabtu (waktu Istanbul).
Misi kemanusiaan disertai mereka menjadi perhatian antarabangsa selepas sembilan kapal membawa aktivis dan bantuan itu diceroboh tentera Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 120 batu nautika dari Gaza pada Rabu lalu.
Selepas insiden tersebut, para aktivis telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel, sebelum dibebaskan secara berperingkat dan tiba di Istanbul pada petang Jumaat.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil; Aktivis MyCARE, Prof Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Mohd Hasan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; Prof Mohd Afandi Salleh; Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan Dr Maziah Muhammad.
Sementara itu, Timbalan Menteri Agama, Zulkifli Hasan dalam ucapannya mewakili Kementerian Luar menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye atas bantuan republik itu dalam usaha pembebasan aktivis Malaysia.
"Kerajaan merakamkan penghargaan kepada Turkiye atas kerjasama erat yang telah diberikan yang membolehkan proses membawa pulang sembilan orang sukarelawan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan," katanya semasa sidang media di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, pada Ahad.
Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Kamal Nasharuddin Mustapha berkata perjuangan ini bukan sekadar misi kemanusiaan, tetapi satu usaha berterusan untuk memerdekakan Palestin.
"MyCARE percaya bahawa perjuangan membebaskan negara Palestin bukan hanya terhenti setakat ini, malah kita tidak akan berhenti berjuang untuk memerdekakan Palestin yang telah dijajah Israel selama 76 tahun.
"Israel boleh menahan kapal, memenjarakan aktivis kita, namun gelombang flotila ke Gaza akan terus berlayar," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami