INTERNATIONAL
Terperangkap 18 jam di balkoni, warga emas ikat baju jadi tali minta tolong

Isyarat kecemasan yang dibuat oleh warga emas berkenaan menggunakan baju selepas terperangkap selama 18 jam. - Foto Sinar Harian/Balai Polis Jongno
SEOUL: Seorang wanita warga emas di Korea Selatan berjaya diselamatkan selepas terperangkap selama 18 jam di balkoni pangsapurinya di tingkat 13.
Menurut Balai Polis Jongno, Seoul, wanita berusia lingkungan 70-an itu diselamatkan sekitar jam 10 pagi pada 10 April lalu.
Difahamkan, mangsa yang tinggal bersendirian di sebuah kompleks pangsapuri berhampiran Stesen Dongnimmun, keluar ke balkoni rumahnya untuk menyiram pokok.
Namun, ketika mahu masuk semula ke dalam rumah, pintu balkoni tiba-tiba terkunci menyebabkan dia terperangkap di luar rumah.Di sebabkan itu, mangsa cuba menjerit meminta tolong, tetapi kedudukan rumah yang tinggi dan bunyi bising lalu lintas menyebabkan jeritannya tidak didengari sesiapa.
Lebih membimbangkan, mangsa tidak membawa telefon bimbit dan dia langsung tidak mempunyai cara untuk menghubungi bantuan.
Keadaan bertambah buruk apabila suhu pada malam itu menjunam secara mendadak dengan keadaan salji turun meletakkannya dalam risiko menghidapi hipotermia.
Dalam keadaan terdesak, mangsa mengikat beberapa helai pakaian yang ada di balkoni untuk dijadikan tali panjang dan isyarat kecemasan di tepi pagar balkoni dengan harapan ada yang akan perasan.
Usahanya membuahkan hasil apabila dua anggota polis yang sedang meronda kawasan tersebut pada keesokan paginya, ternampak tali pakaian yang tergantung dari tingkat atas.
Menyedari kemungkinan berlaku kecemasan, anggota polis berkenaan segera menjalankan siasatan dan berjaya mengesahkan wanita itu terperangkap di luar balkoni.
Mereka kemudian mengenal pasti unit pangsapuri mangsa dan mendapatkan kod akses rumah sebelum masuk dan menyelamatkan wanita itu.
“Anggota polis berjaya menyelamatkan nyawa kerana pantas mengenal pasti isyarat yang boleh sahaja disalah anggap sebagai perkara biasa,” kata jurucakap polis. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami