Skip to main content

Dunia

Thailand jamin bekalan bahan api, tambang stabil menjelang Songkran

61744500806_TBsongkran.jpg
Songkran, Tahun Baharu Thai tradisional yang disambut dari 13 hingga 15 April, diraikan dengan perjumpaan keluarga, memberi penghormatan kepada orang tua dan pembersihan imej Buddha. - Gambar hiasan

BANGKOK: Kerajaan Thailand giat membuat persediaan untuk memudahkan perjalanan menjelang perayaan Songkran minggu depan, dengan memastikan orang ramai mendapat bekalan bahan api mencukupi, tambang (pengangkutan) yang stabil dan langkah keselamatan ditingkatkan di seluruh negara.

Jurucakap Kerajaan Ratchada Thanadirek berkata kerajaan mengakui kebimbangan orang ramai terhadap peningkatan kos sara hidup dan kos pengangkutan awam serta akses kepada bahan api di sepanjang laluan perjalanan utama semasa tempoh perayaan.

Advertisement

“Kerajaan telah melaksanakan langkah komprehensif bagi memastikan orang ramai dapat pulang ke kampung halaman mereka dengan yakin, tanpa menghadapi gangguan atau kekurangan bahan api di sepanjang perjalanan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ratchada berkata Kementerian Pengangkutan telah meningkatkan sokongan perjalanan dengan penyelarasan bersama PTT Oil and Retail Business Public Company Limited, untuk menambah simpanan bahan api di terminal bas seluruh negara yang dikendalikan oleh Transport Co Ltd, sekali gus memastikan bekalan mencukupi untuk kedua-dua perkhidmatan bas berjadual dan tambahan semasa permintaan puncak.

Beliau menambah tambang pengangkutan awam akan kekal tidak berubah sepanjang tempoh Songkran bagi meringankan beban kewangan pengembara.

"Pihak berkuasa juga memantau logistik bahan api dengan teliti, menjejaki lebih 5,700 trak tangki bahan api yang dilengkapi sistem GPS dalam masa nyata untuk mengelakkan gangguan bekalan," katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa turut menjangkakan jumlah perjalanan yang tinggi antara 10 dan 19 April, dengan lebih 10.65 juta kenderaan diunjurkan keluar dan memasuki Bangkok, selain 15.89 juta kenderaan menggunakan lebuh raya. 

Penggunaan pengangkutan awam diramalkan melebihi 18.58 juta perjalanan penumpang, mewakili peningkatan 10 hingga 14 peratus daripada paras biasa.

Songkran, Tahun Baharu Thai tradisional yang disambut dari 13 hingga 15 April, diraikan dengan perjumpaan keluarga, memberi penghormatan kepada orang tua dan pembersihan imej Buddha.

-- BERNAMA

Must Watch Video