BANGKOK: Thailand mungkin mempertimbangkan pengurangan cukai eksais bahan api berasar, khususnya untuk bahan api E20 (campuran etanol) dan B20 (campuran biodiesel) bagi mengurangkan kesan harga tenaga yang tinggi sambil menyokong sektor pertanian negara, kata Timbalan Perdana Menteri Ekniti Nitithanprapas.
Ekniti yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan mempunyai beberapa kaedah untuk menguruskan harga tenaga termasuk menggunakan Dana Bahan Api Minyak, mendapatkan kerjasama daripada kilang penapisan bagi menggunakan lebihan margin penapisan untuk mengurangkan harga runcit dan cukai eksais bahan api.
“Pengurangan cukai eksais bahan api adalah satu lagi pilihan jika keadaan memerlukannya,” kata beliau melalui satu kenyataan.
Ekniti berkata demikian ketika menjawab cadangan untuk menggunakan baki peruntukan pinjaman di bawah langkah yang diperkenalkan dalam mengurangkan kesan krisis Asia Barat bagi menyokong harga bahan api.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan setakat ini mengelak daripada memotong cukai eksais bahan api memandangkan sebarang pengurangan akan menjejaskan hasil kerajaan secara serta-merta, manakala obligasi perbelanjaan akan kekal tidak berubah.
“Akhirnya, kerajaan mungkin perlu meminjam semula untuk membayar pampasan kepada hasil yang hilang. Oleh itu, kesan kepada kedudukan fiskal negara perlu diambil kira di samping sebarang langkah,” katanya.
Jika langkah cukai menjadi perlu, kerajaan sedang mempertimbangkan pendekatan yang lebih bersasar dengan memberi tumpuan kepada bahan api seperti E20 dan B20, yang masing-masing mengandungi kadar etanol serta biodiesel yang agak tinggi.
Beliau berkata pendekatan tersebut akan memastikan manfaat yang lebih meluas, melangkaui sekadar harga bahan api yang lebih rendah, khususnya kepada sektor pertanian disebabkan etanol yang digunakan dalam E20 diperoleh daripada tebu dan ubi kayu, manakala biodiesel dikaitkan dengan minyak sawit.
“Ini akan membolehkan langkah-langkah tenaga turut menyokong pendapatan petani Thailand,” katanya.
Ekniti menegaskan bahawa langkah untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat mesti dilaksanakan seiring dengan disiplin fiskal, terutamanya apabila tahun fiskal semasa berakhir bulan ini.
Baki ruang fiskal Thailand dihadkan kepada lebih sedikit daripada 10 bilion baht (100 baht=RM12.24), menjadikannya perlu bagi kerajaan untuk menilai dengan teliti kesan fiskal daripada sebarang langkah yang boleh mengurangkan hasil negeri.
“Jika langkah mengurangkan hasil kerajaan diperkenalkan tanpa penilaian menyeluruh terhadap beban kewangan yang terhasil, masalah tenaga boleh merebak kepada masalah fiskal dan menjadi 'krisis dalam krisis',” katanya.
Untuk tahun fiskal akan datang, Ekniti berkata, kerajaan akan menilai semula ruang fiskal yang ada sebelum memutuskan sejauh mana langkah tambahan boleh diperkenalkan.
-- BERNAMA