Skip to main content

Dunia

Tiada ancaman dikesan di Pentagon, operasi kembali normal selepas insiden sekatan

FILE PHOTO: The Pentagon is seen from the air in Washington, U.S., March 3, 2022, more than a week after Russia invaded Ukraine. REUTERS/Joshua Roberts/File Photo
Pentagon, yang terletak di utara Virginia berhampiran Washington DC, menempatkan lebih 20,000 pekerja kerajaan dan merupakan salah satu kompleks pejabat terbesar di dunia. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Operasi di Pentagon kembali berjalan seperti biasa selepas bangunan itu ditutup sementara susulan insiden berkaitan kualiti udara yang mencetuskan kebimbangan ancaman bahan berbahaya.

Jurucakap Pentagon, Sean Parnell, berkata sistem bangunan mengesan “potensi isu kualiti udara” pada pagi Khamis, sekali gus mencetuskan pelaksanaan langkah keselamatan segera serta penilaian lanjut.

“Ujian susulan mengesahkan tiada ancaman dikesan dan operasi normal telah disambung semula,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden itu menyebabkan pasukan tindak balas bahan berbahaya (hazmat) dikerahkan ke lokasi, dengan anggota keselamatan dilaporkan memakai topeng gas serta pakaian perlindungan kimia penuh ketika menjalankan pemeriksaan.

Perkhidmatan kecemasan Arlington Fire & EMS turut membantu operasi tersebut dan memaklumkan mereka bertindak balas terhadap insiden melibatkan bahan berbahaya.

Sebelum itu, Pentagon melaksanakan protokol keselamatan standard termasuk arahan “berlindung di tempat” (shelter-in-place) di kawasan terjejas dalam bangunan berkenaan, yang menempatkan ibu pejabat Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

Menurut laporan media tempatan, satu emel dihantar kepada kakitangan Pentagon sekitar jam 11 pagi waktu tempatan, mengarahkan mereka berlindung di empat koridor antara tingkat dua hingga tingkat lima.

Kakitangan juga diminta mematuhi arahan keselamatan dan menukar semua mesyuarat bersemuka kepada pertemuan secara maya sepanjang tempoh sekatan.

Parnell dalam kenyataan susulan turut merakamkan penghargaan kepada pasukan tindak balas kecemasan atas tindakan pantas mereka dalam memastikan keselamatan semua kakitangan.

Pentagon, yang terletak di utara Virginia berhampiran Washington DC, menempatkan lebih 20,000 pekerja kerajaan dan merupakan salah satu kompleks pejabat terbesar di dunia.

Walaupun keadaan kini kembali terkawal, insiden tersebut menimbulkan kebimbangan seketika terhadap kemungkinan ancaman keselamatan di pusat operasi pertahanan utama Amerika Syarikat itu.
 

Must Watch Video

Advertisement