MOSCOW: Sekurang-kurangnya tiga individu terbunuh manakala 21 lagi cedera selepas satu bom buatan sendiri diletupkan di sebuah restoran Itali di Moscow, menurut pegawai keselamatan Rusia seperti dilaporkan media kerajaan negara itu.
Insiden berlaku kira-kira jam 8 malam waktu tempatan (1700 GMT) di Dataran Kudrinskaya, berhampiran pusat bandar Moscow.
Jawatankuasa Anti-Keganasan Nasional Rusia (NAK) memaklumkan, seorang wanita yang membawa bahan letupan cuba memasuki restoran berkenaan, namun, dihalang oleh seorang pengawal keselamatan.
Bom itu kemudiannya meledak, mengorbankan wanita berkenaan, pengawal keselamatan dan seorang pelanggan restoran.
Restoran yang terletak di salah sebuah bangunan pencakar langit terkenal era Stalin itu dilaporkan sedang menganjurkan satu majlis persendirian ketika kejadian berlaku.
Saksi memaklumkan, mereka melihat beberapa mangsa dibawa keluar dalam keadaan berlumuran darah selepas letupan berkenaan.
Laporan awal menyatakan, letupan berlaku di dapur restoran tersebut, namun, pihak pengurusan kemudiannya menafikan dakwaan itu dan memaklumkan, keadaan di dalam premis adalah selamat.
Menurut kenyataan restoran itu, insiden berkenaan berlaku di luar bangunan dan bukannya di kawasan operasi restoran.
Beberapa laluan di sekitar dataran berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan operasi keselamatan dijalankan.
Pada masa sama, satu acara kayuhan malam yang menghimpunkan puluhan penunggang basikal di kawasan berhampiran turut dibatalkan susulan kejadian itu.
Rakaman video yang disiarkan agensi berita RIA menunjukkan anggota penguat kuasa bersenjata lengkap berada di lokasi kejadian yang telah dikawal ketat dan ditutup kepada orang awam. - Agensi