INTERNATIONAL
Tiga maut hujan lebat di Itali, salji landa Switzerland

Puluhan mangsa telah diselamatkan pasukan kecemasan, manakala bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan. - Foto AP
ROM: Sekurang-kurangnya tiga maut di utara Itali selepas hujan lebat, menurut pihak berkuasa pada Jumaat, manakala salji tebal turut menyebabkan gangguan di negara jiran, Switzerland, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Beberapa wilayah di utara Itali terjejas teruk akibat hujan lebat, termasuk Piedmont, South Tyrol dan Lombardy.
Seorang bapa dan anak lelaki maut selepas kereta mereka dihanyutkan arus deras banjir berhampiran Valdagno, yang terletak antara Venice dan Tasik Garda.
Seorang lelaki berusia 92 tahun pula ditemui meninggal dunia di rumahnya berhampiran Turin pada Khamis.Keadaan dijangka kembali reda pada Jumaat, namun beberapa sungai dengan paras air yang melimpah, menyebabkan banjir di beberapa kawasan.
Puluhan mangsa telah diselamatkan pasukan kecemasan, manakala bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.
Wilayah Piedmont telah menyalurkan bantuan kecemasan berjumlah EUR5 juta (AS$5.7 juta).
Kejadian hujan lebat itu turut menjejaskan sistem pengangkutan menjelang hujung minggu sambutan Easter, dengan laluan antara Austria, Itali dan Switzerland mengalami kelewatan.
Di Switzerland, beberapa kawasan terputus hubungan akibat salji tebal, termasuk pusat peranginan ski terkenal, Zermatt, yang terputus hubungan dan banyak kawasan dilaporkan terputus bekalan elektrik.
Beberapa laluan penting seperti Laluan Simplon dan Terowong Great St Bernard masih ditutup, menurut pihak berkuasa.
Risiko runtuhan salji di semua altitud serta bahaya pokok tumbang turut dilaporkan berada pada tahap sangat tinggi.
Lebih setengah meter salji baharu dilaporkan melanda rantau berkenaan pada Khamis.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami