INTERNATIONAL
Timor-Leste yakin jadi anggota tetap ASEAN Oktober ini

Gusmao berkata, Timor-Leste dalam usaha memenuhi dua hingga tiga kriteria lagi sebelum menjayakan usaha berkenaan.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao yakin negara itu dapat memenuhi instrumen untuk menjadi anggota tetap ASEAN pada Oktober ini.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao yakin negaranya dapat menjadi anggota penuh ASEAN pada Oktober 2025, dengan hanya beberapa kriteria lagi perlu dipenuhi.
- Negara-negara ASEAN menunjukkan sokongan kuat terhadap penyertaan Timor-Leste, dan garis panduan penyertaan telah dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN.
- Gusmao hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur, menandakan komitmen Timor-Leste terhadap integrasi serantau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebelum sesi Suamuka pemimpin ASEAN bersama Wakil-Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface) di Kuala Lumpur pada Isnin.
Ditanya mengenai maklum balas negara ASEAN lain, Gusmao berkata sokongan ditunjukkan adalah menakjubkan.
“Anda tahu mengapa? Kerana negara kami kecil keseorangan di sana,” jawabnya ringkas.
Semalam, Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) sepakat menerima garis panduan bagi memudahkan penyertaan Timor-Leste ke dalam Instrumen Undang-Undang blok itu.
Berdasarkan kenyataan media Kementerian Luar, perkembangan itu sekali gus menandakan kemajuan berterusan ke arah keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN di bawah AMM.
Gusmao tiba semalam menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pesawat yang membawa Gusmao dan delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.45 petang semalam dan disambut oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Kompleks Bunga Raya.
Gusmao kemudian memeriksa kawalan kehormatan oleh 28 anggota dan pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di KLCC pada 26 dan 27 Mei ini, serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami