Tokoh politik Britain kagum semangat Malaysia sentiasa sokong perjuangan Palestin

Galloway selaku bekas Ahli Parlimen dua dekad berkongsi pandangan mengenai isu geopolitik di asia barat sambil diperhatikan oleh Mohamad. - Gambar Astro AWANI.
KUALA LUMPUR: Ahli politik Britain, George Galloway kagum dengan sikap kerajaan Malaysia yang sentiasa teguh menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.
Galloway turut menyingkap pengalaman menyertai konvoi misi bantuan ke Gaza dan menyaksikan kontijen Malaysia bersemangat untuk memecahkan kepung rejim Zionis Israel.
“Lima kali saya sertai konvoi ke Gaza antara 2008 hingga sekitar 2015 berserta ratusan kenderaan untuk memecahkan kepungan di Gaza, kontinjen Malaysia dalam setiap konvoi antara yang paling ramai dan bersemangat.
“Kerajaan Malaysia secara berterusan sentiasa menyokong Palestin dan rakyatnya berada di barisan hadapan menggerakkan solidariti antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri forum “A Global Humanity With George Galloway” di sini, pada Ahad.
Pada masa sama, Galloway turut menghargai usaha penganjur yang telah menjemput beliau untuk berkongsi sudut pandang mengenai krisis asia barat.
“Kehadiran orang ramai pada malam ini membuktikan rakyat Malaysia tidak akan melupakan Palestin,” katanya.
Galloway yang pernah berkhidmat selaku Ahli Parlimen lebih dua dekad merupakan antara ahli politik paling lantang dalam menyuarakan isu Palestin, malah pernah dipecat oleh Parti Buruh kerana kritikan keras terhadap penaklukan Iraq oleh Amerika Syarikat dan Britain pada 2003.
Hadir sama pada forum berkenaan ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


