Ringkasan AI
- Penggiat seni visual muda perlu didedahkan kepada hala tuju kerjaya dan ekosistem sokongan selepas tamat pengajian untuk memastikan bakat mereka terus berkembang.
- Penjurian pertandingan seni kini menitikberatkan kekuatan naratif, keaslian warisan dan kajian kendiri peserta dalam penghasilan karya.
- Pertandingan Usaha Tegas Heritage Art Competition meningkatkan keyakinan bakat muda dan membuktikan potensi besar kreativiti generasi muda tempatan.
KUALA LUMPUR: Penggiat seni visual muda perlu diberikan pendedahan yang lebih jelas mengenai hala tuju kerjaya dan ekosistem sokongan selepas menamatkan pengajian supaya bakat yang diasah di institusi pendidikan tidak terhenti di peringkat pertandingan semata-mata.
Kurator Balai Seni Negara, Syahrul Niza Ahmad Zaini berkata cabaran penggiat seni muda di luar kampus sangat berbeza berbanding ketika bergelar pelajar, justeru pemahaman terhadap industri dan platform sokongan amat diperlukan.
"Kita di Balai Seni Negara sentiasa memberikan sokongan kerana kita mahu melihat ke mana arah tuju pelukis-pelukis muda kita. Apabila mereka menamatkan pengajian, cabaran di luar amat berbeza berbanding ketika mereka masih bergelar pelajar," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Usaha Tegas Heritage Art Competition (UTH Art Comp) di Bangunan Sultan Abdul Samad, pada Selasa.
Beliau yang juga antara juri pertandingan berkata usaha berterusan daripada penganjur, institusi seni negara dan kementerian berkaitan dapat membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk terus berkarya serta membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi.
"Jadi mereka perlu memahami industri ini, mengetahui peranan Balai Seni Negara dan kementerian berkaitan serta peluang yang tersedia untuk mereka," katanya.
Kepekaan naratif dan kajian kendiri peserta
Syahrul Niza berkata sepanjang empat kali terlibat dalam proses penjurian sejak 2001, beliau melihat perkembangan ketara dalam kalangan pelajar dan penggiat seni muda dari segi kepekaan terhadap tema warisan serta kesungguhan melakukan kajian kendiri sebelum menghasilkan karya.
Menurutnya, peserta kini lebih cenderung melakukan penyelidikan sendiri bagi memastikan hasil karya mereka mempunyai identiti tersendiri dan berbeza daripada peserta lain.
Beliau berkata aspek itu penting kerana penilaian bukan hanya tertumpu kepada keindahan visual, sebaliknya turut mengambil kira kekuatan naratif yang dibawakan.
"Apa yang menarik dalam penjurian ini ialah kita melihat kepada naratif dan cerita yang dibawa. Apakah warisan yang diangkat, apa keasliannya dan bagaimana ia membangkitkan memori yang mempunyai kaitan dengan peserta itu sendiri," katanya.
Ekosistem pertandingan dan dorongan kepada bakat baharu
Sementara itu, Pengerusi Usaha Tegas Heritage Art Competition, Henry Tan berkata pertandingan berkenaan berperanan meningkatkan keyakinan bakat muda menerusi pengiktirafan terhadap usaha kreatif mereka.
"Sebagai sebuah pertandingan, kami mahu menjadi pemangkin untuk menggalakkan lebih ramai artis dan bakat muda tampil mengambil bahagian.
"Kami berharap pengiktirafan terhadap karya mereka, khususnya kepada para pemenang, menjadi dorongan untuk menyuntik keyakinan tambahan bagi melangkah ke hadapan dan mengejar cita-cita yang diimpikan," katanya pada majlis sama.
Beliau turut menyifatkan penyertaan pelajar dari seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai bukti bahawa kreativiti generasi muda tempatan terus berkembang apabila diberi ruang yang sesuai.
"Saban tahun kami sentiasa teruja melihat begitu banyak kreativiti dan bakat daripada pelajar yang tampil mempersembahkan karya mereka," katanya.
Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan potensi besar bakat seni tempatan yang wajar terus dibimbing dan diberikan sokongan bagi memastikan mereka mampu berkembang dalam industri kreatif negara.