Ringkasan AI
- Malaysia melalui NADMA diberi mandat menyelaras projek kerjasama pengurusan bencana ASEAN-China bernilai RM19.7 juta sehingga Oktober 2028.
- Kepercayaan ini berasaskan pengalaman, kemudahan latihan, serta pengiktirafan INSARAG terhadap keupayaan NADMA dan SMART dalam pengurusan bencana.
- Malaysia turut memperkukuh kerjasama dengan Jepun dan Republik Korea, termasuk latihan bersama, perkongsian teknologi, dan pembangunan sistem amaran awal bencana.
KUALA LUMPUR: Malaysia menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diberi kepercayaan oleh China dan negara-negara ASEAN untuk menyelaras projek kerjasama pengurusan bencana ASEAN-China bernilai kira-kira RM19.7 juta yang sedang dilaksanakan sehingga Oktober 2028.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pencapaian serta pengalaman negara menjadi asas kepercayaan tersebut, termasuk dalam bidang latihan, teknologi amaran awal dan bantuan rentas sempadan di bawah Pelan Kerja ASEAN-China 2026–2030.
"Pelan yang direncanakan ini untuk tahun 2026 hingga tahun 2030 mendapat peruntukan yang agak lumayan daripada China bagi Malaysia mengadakan penyelarasan pengurusan bencana dalam kalangan negara-negara ASEAN dan China.
"Ini termasuk dalam bidang latihan serta penggunaan teknologi terbaharu untuk menyediakan amaran awal kepada kawasan yang dijangka dilanda bencana, selain kerjasama antara negara ASEAN dalam menyalurkan bantuan rentas sempadan," katanya pada sidang media, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata kepercayaan itu turut didorong oleh kemudahan latihan yang dimiliki negara serta pengiktirafan International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap keupayaan NADMA dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
"Ini merupakan kepercayaan yang utama, yang pada hemat saya harus dinakhodai oleh Malaysia atas kepercayaan ini," tegas beliau.
Perkongsian teknologi dan kesiapsiagaan rakan serantau
Ahmad Zahid berkata selain kerjasama ASEAN-China, Malaysia turut menjalin kerjasama pengurusan bencana dengan Jepun dan Republik Korea menerusi pelancaran tiga Pelan Kerja Pengurusan Bencana 2026–2030.
Menurut beliau, setiap negara mungkin mempunyai keupayaan untuk menggerakkan tenaga manusia sendiri ketika bencana, namun perkongsian teknologi, latihan dan peralatan dengan negara sahabat amat penting untuk memperkukuh kesiapsiagaan.
"Ini penting kerana dari segi tenaga manusia untuk membantu, mungkin boleh dikendalikan oleh setiap negara. Namun dari segi perkongsian teknologi, latihan dan penggunaan peralatan, kita boleh menjalin kerjasama antara negara ASEAN dan negara sahabat yang terlibat dalam persidangan ini," katanya.
Latihan lapangan, sistem amaran awal dan kerjasama dua hala
Dalam kenyataan susulan, beliau berkata projek bernilai kira-kira RM19.7 juta yang kemajuannya dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-China Mengenai Pengurusan Bencana Ke-6 merangkumi latihan petugas, sokongan teknologi maklumat dan komunikasi serta sistem penyelarasan dan arahan operasi kecemasan termasuk aplikasi mudah alih.
Dalam mesyuarat tersebut, Ahmad Zahid menekankan kepentingan latihan mencari dan menyelamat serta simulasi bersama di bawah Pelan Kerja ASEAN-China 2026–2030 agar pasukan pelbagai negara bersedia apabila bantuan rentas sempadan digerakkan.
Sementara itu, dalam sesi bersama Jepun, delegasi Malaysia memberi tumpuan kepada latihan kesiapsiagaan komuniti dan pembangunan kepimpinan tempatan, manakala sesi bersama Republik Korea menggariskan usaha memperkukuh sistem amaran awal serta penyampaian maklumat bencana secara digital kepada penduduk di kawasan berisiko.
Dalam pertemuan dua hala bersama Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Republik Korea (MOIS), yang diwakili Park Cheon-soo, beliau turut mencadangkan latihan bersama dan pertukaran kepakaran sementara draf Memorandum Persefahaman mengenai pengurusan bencana menjalani semakan perundangan oleh Jabatan Peguam Negara.
Malaysia juga meneroka penempatan pegawai pengurusan bencana negara ke Republik Korea di bawah Program PRESTIJ Pengurusan Bencana serta menegaskan komitmen terhadap pelaksanaan Program Kerja AADMER 2026–2030 dan pengukuhan AHA Centre dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14.