BANGKOK: Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd (sebelum ini AirAsia Group Bhd) Tan Sri Tony Fernandes menggesa kerajaan Thailand untuk memudahkan keperluan perjalanan COVID-19 untuk pengunjung antarabangsa dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong.

Bagi memudahkan perjalanan, beliau turut meminta kerajaan mempertimbangkan untuk membatalkan syarat permohonan untuk Pas Thailand dan membeli insurans perjalanan.

"Diharapkan, kita tidak memerlukan Pas Thailand berikutan syarikat penerbangan boleh melaksanakan peranan mereka dengan menyemak semua dokumen yang diperlukan, termasuk sijil vaksin untuk pelancong yang memasuki Thailand.

"Saya amat optimis bahawa orang ramai mahu datang ke Thailand. Sudah tiba masanya untuk membantu industri pelancongan. Oleh itu, kita perlu memudahkan perjalanan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran airasia Super App di sini pada Isnin.

Selain itu, pengembara perlu menempah awal hotel yang diperakui SHA Extra dan ujian RT-PCR COVID-19 untuk Hari 1 dan Hari 5.

Selain itu, Fernandes turut menyuarakan rasa optimis terhadap peningkatan jumlah ketibaan pelancong asing ke Thailand sekiranya kerajaan bertindak melonggarkan kesemua sekatan perjalanan.

"Ramai yang mahu ke Thailand. Ini semua bergantung kepada bagaimana tindakan kerajaan untuk membuka sempadan.

"Kami di AirAsia sememangnya bersedia untuk menyediakan penerbangan tersebut," katanya.

Sebelum pandemik COVID-19, Thailand merekodkan hampir 40 juta pengunjung namun bilangan ketibaan pelancong merosot kepada 6.7 juta orang pada 2020.

Majlis Ekonomi dan Sosial Negara pada Isnin menjangkakan ketibaan 5.5 juta pelancong pada tahun ini.

Terdahulu, Fernandes melancarkan airasia Super App -- platform semua-dalam-satu yang menawarkan lebih daripada 16 rangkaian produk dan perkhidmatan kepada pengguna menerusi aplikasi itu serta laman sesawang airasia.com.

Aplikasi yang mempunyai 51 juta pengguna pada masa ini, menyasarkan untuk menjadi aplikasi utama ASEAN menjelang 2026, kata Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Super App Amanda Woo.

Menurutnya, aplikasi itu turut diiktiraf sebagai unicorn ruang teknologi dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

"Kami berkembang daripada sebuah syarikat penerbangan kepada satu platform yang menawarkan lebih daripada 16 kategori perkhidmatan.

"Kami juga merupakan antara peneraju agensi pelancongan dalam talian di rantau ini berikutan peranan sebagai platform sehenti untuk perkhidmatan pengembaraan seperti penerbangan membabitkan lebih 700 syarikat di peringkat global, rangkaian hotel selain menawarkan platform seperti penerbangan dan hotel.

"Sejajar usaha menjadi aplikasi gaya hidup terkemuka di rantau ini, airasia Super App juga menyasarkan untuk melipatgandakan jumlah pengguna menjelang 2026," katanya.

-- BERNAMA