Skip to main content

Dunia

Trafik di Hormuz menurun lebih 95 peratus susulan perang AS-Israel-Iran - PBB

Sumber: UN
Jurucakap PBB Stephane Dujarric. - Gambar fail/PBB

WASHINGTON: Jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz susut lebih 95 peratus sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan perang terhadap Iran, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

“Transit perkapalan yang melalui Selat Hormuz menurun sebanyak 95.3 peratus sejak 28 Feb, manakala harga komoditi makanan meningkat enam peratus dan harga minyak mentah untuk Eropah melonjak 53 peratus,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric kepada pemberita di ibu pejabat PBB di New York.

Advertisement

Dujarric merujuk kepada tarikh AS dan Israel mula melancarkan serangan besar-besaran di seluruh Iran, yang mendorong Tehran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron, selain mengumumkan penutupan laluan perairan penting itu.

Selat Hormuz merupakan antara laluan tenaga paling kritikal di dunia, dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak global melaluinya setiap hari sebelum perang tercetus.

Laluan perairan itu berdepan gangguan sejak awal Mac susulan tercetusnya perang. 

Konflik itu kini terhenti sementara di bawah gencatan senjata, manakala usaha diplomatik sedang diteruskan bagi mencapai persetujuan berkekalan.

Di sebalik gencatan senjata itu, Presiden AS Donald Trump mengenakan sekatan terhadap semua kapal yang menuju ke atau dari pelabuhan Iran, ketika Tehran terus memintas kapal yang melalui selat berkenaan tanpa kelulusannya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video