DUNIA
Trump dijangka bertemu Putin seawal minggu depan – Laporan

Presiden Trump (kanan) dijangka mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Presiden Putin seawal minggu depan bagi membincangkan soal menamatkan konflik di Ukraine.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin seawal minggu depan, lapor The New York Times pada Rabu, memetik dua individu yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu.
Laporan tersebut turut menyebut Trump merancang untuk mengadakan satu lagi pertemuan berasingan yang melibatkan kedua-dua Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.
Perancangan itu dikatakan didedahkan dalam satu panggilan bersama beberapa pemimpin Eropah awal pagi Rabu.
White House setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung laporan tersebut.Namun, Trump sebelum itu mengesahkan beliau telah berbincang dengan pemimpin-pemimpin Eropah susulan pertemuan “amat produktif” antara utusannya, Steve Witkoff, dengan Putin di Rusia.
“Semua pihak bersetuju bahawa perang ini mesti ditamatkan, dan kami akan bekerja ke arah itu dalam masa terdekat,” tulis Trump menerusi akaun Truth Social miliknya.
Trump yang pernah berjanji untuk menamatkan perang Ukraine pada “hari pertama” jika kembali ke White House dilaporkan telah beberapa kali menghubungi Putin serta mengadakan pertemuan dengan Zelenskiy sejak mula memegang jawatan Presiden buat kali kedua pada Januari lalu.
Namun, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Trump semakin lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang disifatkannya sebagai kegagalan Moscow untuk menunjukkan kemajuan dalam menamatkan konflik yang kini memasuki tahun keempat. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami