Skip to main content
Advertisement

Dunia

Trump, pemimpin teknologi tandatangan perjanjian keselamatan ‘super intelligence’

President Donald Trump, center, next to Nvidia CEO Jensen Huang, left, and Elon Musk, right, speaks in the East Room of the White House in Washington, Tuesday Sept. 29, 2026, surrounded by top executives of AI firms including, from top left, Microsoft CEO Satya Nadella, Greg Brockman, President of OpenAI, House Speaker Mike Johnson, AMD CEO Lisa Su, Palo Alto Networks Chief Executive Nikesh Arora, and David Sacks. (AP Photo/Jacquelyn Martin)
Trump (tengah) diapit Jensen Huang (kiri) dan Elon Musk (kanan), bercakap kepada media di White House, Washington, 29 Sept 2026. Turut hadir, belakang, dari kiri, CEO Microsoft Satya Nadella, Greg Brockman, Speaker Dewan AS Mike Johnson, CEO AMD Lisa Su, Ketua Eksekutif Palo Alto Networks Nikesh Arora dan David Sacks. (Foto AP)
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkongsi salinan satu perjanjian mengenai keselamatan kecerdasan buatan (AI) di platform Truth Social, yang menurut beliau ditandatangani bersama beberapa eksekutif terkemuka industri teknologi, lapor Anadolu Ajansi.

Perjanjian itu menggariskan komitmen bersama untuk memperkukuh langkah keselamatan dalam pembangunan dan penggunaan sistem AI termaju.

Perjanjian White House mengenai “Super Intelligence”, yang dikenali sebagai “Joint Commitment on Frontier Responsibilities”, menggesa syarikat yang membangunkan dan menggunakan model AI termaju supaya mewujudkan proses dalaman serta mekanisme kawalan yang kukuh.

Langkah itu bertujuan memastikan sistem AI beroperasi seperti yang dimaksudkan, selain membolehkan sebarang masalah dikenal pasti dan ditangani dengan segera.

Menurut perjanjian itu, setiap syarikat yang mengambil bahagian perlu melaksanakan empat lapisan kawalan dan audit meliputi proses pembangunan serta penggunaan model AI.

Lapisan pertama menghendaki syarikat mewujudkan kawalan dalaman bagi memantau keupayaan dan tahap keselarasan model, termasuk risiko berkaitan keselamatan siber, biokeselamatan dan ancaman kimia.

Kawalan itu juga bertujuan mengelakkan model AI daripada menggodam atau mengakses sistem teknikal dengan cara yang tidak dimaksudkan.

Lapisan kedua pula melibatkan pasukan dalaman yang bertanggungjawab memastikan kawalan, sistem pemantauan dan mekanisme pengesanan berfungsi dengan baik, selain memastikan masalah yang dikenal pasti ditangani.

Di bawah lapisan ketiga, syarikat perlu bekerjasama dengan juruaudit atau penilai luar yang bebas bagi menilai sama ada sistem kawalan dan pemantauan mereka berfungsi sebagaimana yang ditetapkan.

Lapisan keempat pula menetapkan penubuhan jawatankuasa lembaga bebas untuk mengawasi keseluruhan proses, menerima laporan daripada pasukan dalaman dan penilai luar serta memastikan isu yang dikenal pasti diselesaikan.

Menurut perjanjian itu, langkah berkenaan bertujuan meningkatkan keyakinan syarikat, pelanggan dan orang ramai bahawa sistem AI termaju beroperasi seperti yang dimaksudkan.

Syarikat yang mengambil bahagian juga akan mengadakan pertemuan secara berkala bagi menetapkan piawaian dan amalan terbaik untuk meningkatkan tahap keselamatan sistem masing-masing.

Dokumen itu turut membuka ruang kepada kemungkinan pengawalseliaan kerajaan pada masa depan dengan menyatakan bahawa langkah berkenaan boleh dimasukkan ke dalam undang-undang atau peraturan.

Sama ada keperluan berkenaan kelak diwajibkan atau sebaliknya, para penandatangan menyatakan pelaksanaan kawalan dan audit penting bagi memastikan teknologi berkenaan dibangunkan dengan selamat serta berjanji untuk mengguna pakai kerangka terbabit dalam syarikat masing-masing.

Perjanjian itu menyenaraikan Trump serta beberapa eksekutif syarikat teknologi terbesar dunia sebagai penandatangan.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Google Sundar Pichai, CEO Anthropic Dario Amodei, CEO Meta Mark Zuckerberg, pengasas bersama OpenAI Greg Brockman, CEO xAI Elon Musk dan CEO Nvidia Jensen Huang.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement