Skip to main content

Dunia

Trump tegaskan hubungan dengan Netanyahu 'sangat baik' walau beza pendapat mengenai Gaza

81767082726_BenjaminNetanyahu.jpg
Trump (kanan) berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan di Oval Office pada Isnin selepas Netanyahu menolak cadangan terbaharu yang dikemukakan menerusi pelan damai yang dipimpin AS. -Gambar fail
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menegaskan hubungannya dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kekal "sangat baik" walaupun kedua-dua pemimpin itu berbeza pandangan mengenai pelan damai Gaza yang disokong Washington.

Trump berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan di Oval Office pada Isnin selepas Netanyahu menolak cadangan terbaharu yang dikemukakan menerusi pelan damai yang dipimpin AS, lapor AFP.

Sebelum ini, Netanyahu secara terbuka menyatakan penolakannya terhadap pelan 15 perkara itu yang menggariskan pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza seiring dengan proses pelucutan senjata oleh pejuang Hamas.

Penolakan tersebut dibuat ketika Netanyahu, pemimpin paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel, berdepan persaingan sengit dalam beberapa tinjauan pendapat menjelang pilihan raya umum pada 27 Okt ini.

Pelan damai yang disokong AS itu dilaporkan kurang mendapat sambutan daripada penyokong sayap kanan Netanyahu, manakala beberapa anggota Kabinet berhaluan kanan turut menggesa supaya cadangan berkenaan ditolak.

Sebelum ini, Netanyahu banyak bergantung pada hubungan rapatnya dengan Trump dalam kempen politiknya. Trump ketika penggal terdahulu mengambil beberapa langkah yang memihak kepada Israel, termasuk memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis.

Walaupun kedua-dua pemimpin itu bersama-sama menyokong tindakan ketenteraan terhadap Iran pada akhir Februari lalu, perbezaan pendapat mula timbul apabila Trump menggesa gencatan senjata dilaksanakan bagi menamatkan konflik tersebut susulan kenaikan harga minyak global dan tekanan politik domestik.

Menurut data Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 1,250 rakyat Palestin terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel sejak pengumuman gencatan senjata pada Oktober lalu. Dalam tempoh sama, tentera Israel melaporkan lima kematian dalam kalangan anggotanya.

Must Watch Video

Advertisement