Skip to main content
Advertisement

Dunia

Trump tolak gencatan senjata Iran, jangka serangan baharu selepas pilihan raya pertengahan penggal

Sumber: AP
Trump tolak gencatan senjata dengan Iran, jangka konflik kembali memuncak selepas pilihan raya pertengahan penggal AS. - Foto fail/AP
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menolak kemungkinan menghidupkan semula gencatan senjata dengan Iran dan menjangkakan konflik yang berlarutan antara kedua-dua pihak akan memasuki fasa baharu selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada November.

Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), Trump percaya serangan ke atas Iran berkemungkinan disambung semula selepas pilihan raya itu, sekali gus menandakan pendirian lebih tegas Washington terhadap Tehran.

Perkembangan itu berlaku ketika usaha diplomatik untuk mencapai gencatan senjata berkekalan antara AS dan Iran terus berdepan pelbagai halangan susulan konflik yang tercetus sejak awal tahun ini.

Sebelum ini, Trump menyatakan beliau tidak menjangka rundingan baharu dengan Iran akan menjadi keutamaan Washington dan berpendapat perang itu boleh berakhir hanya selepas pilihan raya pertengahan penggal berlangsung.

Hubungan kedua-dua negara kekal tegang selepas siri serangan dan tindakan balas yang melibatkan kepentingan AS, Iran serta sekutunya di rantau Asia Barat, termasuk gangguan terhadap perkapalan di Selat Hormuz yang merupakan laluan penting perdagangan tenaga dunia.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan Iran berhubung laporan WSJ itu.

Pemerhati berpendapat sebarang peningkatan semula tindakan ketenteraan selepas pilihan raya AS berpotensi menjejaskan kestabilan serantau serta memberi kesan kepada pasaran tenaga global yang masih bergelut dengan ketidaktentuan akibat konflik berkenaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement