BANGKOK: Tujuh termasuk empat kanak-kanak maut selepas bumbung di sebuah padang sekolah runtuh dalam kejadian ribut di Thailand pada Selasa.

Memetik SCMP, mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur di antara enam dan 13 tahun itu sedang berlindung ketika hujan selepas menyertai aktiviti di Sekolah Rendah Wat Nern Por di wilayah Phichit.

Menurut media tempatan, keadaan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung itu runtuh secara tiba-tiba.

“Orang dewasa yang terkorban termasuk dua ibu bapa dan seorang penjaga, manakala 18 yang lagi cedera,” kata pejabat hubungan awam wilayah Phichit.

Seorang saksi memberitahu ThaiPBS, dia terdengar bunyi seakan berada dalam zon perang sebelum dilanda ribut yang kuat.

Datuk Bandar tempatan Kannika Intarakul memaklumkan banyak kediaman di kawasan itu turut mengalami kerosakan.

Difahamkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah dibawa ke hospital namun meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat di kawasan utara Thailand bermula minggu ini.