Turkiye mainkan peranan signifikan untuk keamanan, kestabilan global - Menteri Luar Montenegro

Turkiye memainkan peranan yang "amat kuat" di seluruh dunia hari ini bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan global, kata Menteri Luar Montenegro, Ervin Ibrahimovic.
ISTANBUL: Turkiye memainkan peranan yang "amat kuat" di seluruh dunia hari ini bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan global, kata Menteri Luar Montenegro, Ervin Ibrahimovic menurut laporan Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap kepada Anadolu ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Kedua bagi Platform Keamanan Balkan di Istanbul, Ibrahimovic menekankan kepentingan strategik Turkiye dengan menyatakan: "Di rantau kami, di mana keamanan dan kestabilan amat penting, peranan Turkiye adalah sangat signifikan."
Sambil menyatakan bahawa banyak perbincangan konstruktif dan positif telah diadakan semasa mesyuarat pada Jumaat, beliau percaya platform itu akan membuahkan hasil positif bagi mencapai keamanan, kestabilan serta kepentingan bersama.
"Bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga global, terutamanya dalam situasi geopolitik yang mencabar, penyertaan negara seperti Turkiye dalam platform seperti Platform Keamanan Balkan adalah sangat berharga," katanya.
Hubungan Turkiye-Montenegro
Mengenai hubungan dua hala, Ibrahimovic berkata, Turkiye dan Montenegro merupakan "contoh terbaik dalam mengekalkan hubungan baik" dan menegaskan bahawa kerjasama itu harus diteruskan.
Beliau berkata, kedua-dua negara mempunyai "hubungan cemerlang" dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelancongan, budaya serta keselamatan.
Menyentuh mengenai sektor pelancongan, Ibrahimovic berkata, pelancong Turkiye menunjukkan minat yang besar terhadap Montenegro dengan mencatatkan ketibaan seramai 165,000 orang pada tahun lepas.
"Itu adalah angka yang mengagumkan," katanya sambil melahirkan rasa puas hati dengan minat yang ditunjukkan oleh rakyat Turkiye.
Selain itu, beliau berkata, kira-kira 250,000 warga Montenegro yang menetap di Turkiye pada masa ini berfungsi sebagai "jambatan penting" antara kedua-dua negara.
Turkiye juga merupakan pelabur asing terbesar di Montenegro, dengan Ibrahimovic menyatakan bahawa 15 peratus daripada pelaburan asing pada 2025 disumbangkan oleh negara itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


