INTERNATIONAL
UK rancang hadkan visa untuk warganegara tertentu

Statistik menunjukkan jumlah permohonan visa utama ke UK telah menurun 37% dalam tempoh setahun. - Foto AP
LONDON: United Kingdom (UK) merancang untuk mengehadkan permohonan visa daripada warganegara yang dianggap berisiko tinggi untuk menetap lebih lama daripada tempoh dibenarkan dan memohon suaka, lapor PA Media/dpa yang memetik laporan akhbar The Times.
Ringkasan AI
- Kerajaan UK bercadang untuk mengehadkan visa kerja dan pengajian bagi warganegara yang dianggap berisiko tinggi menetap lebih lama atau memohon suaka, termasuk dari Pakistan, Nigeria, dan Sri Lanka.
- Parti Buruh dan Pejabat Dalam Negeri menekankan perlunya sistem yang lebih ketat bagi menangani penyalahgunaan visa, dengan rancangan terperinci akan diumumkan dalam Kertas Putih Imigresen.
- Statistik menunjukkan jumlah permohonan visa utama ke UK telah menurun 37% dalam tempoh setahun, kemungkinan besar disebabkan perubahan peraturan seperti larangan membawa tanggungan keluarga dan kenaikan ambang gaji bagi pekerja mahir.
Parti Buruh dalam manifestonya telah berikrar untuk menurunkan jumlah tersebut. Parti itu berkata tahap keseluruhan migrasi bersih "perlu dikawal dan diurus dengan baik."
"Kegagalan untuk berbuat demikian akan mengurangkan insentif bagi perniagaan untuk melatih tenaga kerja tempatan," tambah kenyataan itu.
Jurucakap Pejabat Dalam Negeri UK berkata: "Bagi menangani penyalahgunaan oleh warganegara asing yang tiba menggunakan visa kerja dan pengajian kemudian memohon suaka, kami sedang membina pangkalan risikan mengenai profil individu ini bagi mengenal pasti mereka lebih awal dan dengan lebih pantas.
"Kami sentiasa menyemak semula sistem visa dan jika mengesan sebarang trend yang boleh menjejaskan peraturan imigresen kami, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.
"Di bawah rancangan perubahan kami, Kertas Putih Imigresen yang bakal diumumkan akan memperincikan pelan menyeluruh untuk memulihkan semula sistem imigresen kami yang sedang bermasalah."
Angka yang dikeluarkan bulan lalu menunjukkan jumlah migran yang memohon laluan visa utama ke UK telah menurun lebih satu pertiga dalam tempoh setahun.
Permohonan dalam kategori visa kerja, pengajian dan keluarga merangkumi sejumlah 772,200 orang bagi tempoh sehingga Mac 2025, menurun 37 peratus berbanding hampir 1.24 juta pada tempoh 12 bulan sebelumnya, menurut data Pejabat Dalam Negeri.
Penurunan itu berkemungkinan mencerminkan perubahan peraturan migrasi sah yang diperkenalkan awal 2024 oleh kerajaan Konservatif terdahulu, termasuk larangan membawa tanggungan keluarga bagi pekerja penjagaan dan pelajar dari luar negara, serta kenaikan mendadak ambang gaji minimum bagi pekerja mahir kepada 38,700 pound (AS$51,440).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami