JAKARTA: Ketua Pelancongan Bali, Tjokorda Bagus Pemayun berkata, warga asing tidak seharusnya dihalang daripada melawat pulau peranginan itu selepas Parlimen Indonesia meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) yang menjenayahkan seks luar nikah dan bersekedudukan.

Di bawah kanun jenayah baharu yang diluluskan pada Selasa, mereka yang melakukan hubungan seks luar nikah atau bersekedudukan boleh dilaporkan kepada polis.

Bagaimanapun, laporan hanya boleh dibuat kepada pihak berkuasa oleh ibu bapa, pasangan atau anak mereka.

Bakal berkuat kuasa tiga tahun lagi, hukuman bagi kesalahan itu ialah penjara maksimum setahun atau denda 10 juta Rupiah.

Bagi kesalahan bersekedudukan pula, hukumannya ialah penjara enam bulan atau denda 10 juta Rupiah.

RUU itu mencetuskan kebimbangan kehadiran pelancong asing ke Indonesia berkurangan termasuk ke Bali.

Dalam temu bual dengan CNA pada Rabu, Pemayun berkata, pelancong tidak perlu risau dengan perkembangan terbaharu itu.

“Jangan risau kerana berdasarkan perbincangan kami dengan pelbagai persatuan hotel dan pelancongan, hotel tidak akan meminta status perkahwinan (dokumentasi).

“Apabila pelancongan tiba di hotel, mereka tiba untuk beriadah. Mereka akan dilayan seperti sekarang (tanpa diperiksa status perkahwinan mereka)," kata Pemayun.

Putu Winastra, yang mengetuai Persatuan Agensi Pelancongan dan Pelancongan Indonesia di Bali juga menegaskan, pemeriksaan seumpama itu tidak perlu.

“Pelancong yang datang ke Bali akan tetap berasa selesa kerana hotel akan memastikan privasi mereka. Jika mereka tiba bersama pasangan, pihak hotel akan memberi mereka bilik.

“Saya pasti pihak hotel tidak akan meminta sijil kahwin anda. Sama ada anda sudah berkahwin atau tidak, mereka tidak akan bertanya kepada anda kerana ia adalah perkara peribadi.

"Dan saya telah bercakap dengan persatuan pengurus besar hotel, mereka akan merahsiakan status perkahwinan pelancong," ujarnya.

Kenyataan Winastra dan Pemayun dibuat ketika kebimbangan bahawa kanun jenayah baharu itu mungkin menjejaskan ekonomi Indonesia yang baru pulih daripada pandemik COVID-19.

Pelancong dari Australia merupakan kumpulan terbesar pelancong asing ke Bali dengan kira-kira sejuta daripada mereka melawat pulau itu setiap tahun sebelum pandemik.

Kerajaan Australia memaklumkan sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kanun keseksaan baharu itu kerana ia mungkin memberi kesan kepada rakyatnya di Indonesia.

Tetapi, Winastra berkata, tidak ada sebab untuk pelancong mengelak daripada mengunjungi pulau peranginan itu.

“Kami tidak mahu pelancong mengelak Bali. Kami optimis pada 2023, akan ada peningkatan dalam jumlah pelancong, kanun jenayah itu tidak akan memberi kesan kerana hotel akan memastikan privasi orang ramai,” kata Winastra.