NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Khamis menangguhkan buat kali keempat undian mengenai draf resolusi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

Majlis 15 anggota itu dijangka bermesyuarat pada Jumaat untuk mengundi resolusi yang dirangka oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menggesa "langkah-langkah segera" untuk membolehkan penghantaran bantuan dengan selamat dan tanpa halangan kepada orang awam di Gaza.

Rundingan tertutup secara intensif telah diadakan sepanjang minggu ini oleh Majlis Keselamatan untuk mengelak Amerika Syarikat (AS) daripada memveto resolusi itu.

Selepas bermesyuarat mengenai situasi di Asia Barat, Wakil Tetap AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield berkata Majlis Keselamatan "bersedia" untuk mengundi draf resolusi itu.

"Saya hanya ingin berkongsi dengan anda bahawa kami telah bekerja keras dan tekun sepanjang minggu lalu dengan UAE, termasuk Mesir untuk menghasilkan resolusi yang boleh kami sokong. Dan kami mempunyai resolusi itu sekarang," katanya.

Wakil tetap AS itu bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat bagaimana beliau akan mengundi.

Menurut pihak berkuasa di Semenanjung Gaza serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt, membunuh lebih 20,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 52,000 yang lain.

-- BERNAMA