INTERNATIONAL
Utusan khas Trump akan lawat Rusia untuk rundingan dengan Putin

Pada 11 Apr lalu, Witkoff (kiri) telah mengadakan pertemuan dengan Putin (kanan) di Saint Petersburg, Rusia. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Utusan khas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Steve Witkoff, akan mengadakan lawatan ke Rusia minggu ini bagi mengadakan rundingan dengan Presiden Vladimir Putin mengenai perang di Ukraine, menurut pengesahan Rumah Putih pada Selasa.
"Kami rasa sekali lagi, kami sedang bergerak ke arah yang betul. Dan utusan khas, Steve Witkoff, akan berlepas ke Rusia sekali lagi hujung minggu ini untuk meneruskan rundingan dengan Vladimir Putin," kata jurucakap Karoline Leavitt kepada wartawan, lapor Anadolu Ajansi.
Trump pada Isnin berkata terdapat "peluang yang sangat baik" untuk Rusia dan Ukraine mencapai persetujuan minggu ini bagi menamatkan perang yang telah berlarutan lebih tiga tahun itu.
Apabila ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Negara Marco Rubio yang mencadangkan AS mungkin menarik diri daripada rundingan sekiranya tiada kemajuan dicapai, Leavitt berkata: "Saya rasa tidak wajar untuk saya umumkan perkara itu dari podium ini.""Akhirnya, itu adalah keputusan presiden, tetapi beliau telah nyatakan dengan jelas bahawa beliau mahu melihat perdamaian dicapai.
"Beliau mahu melihat perang ini berakhir dan mahu menghentikan pertumpahan darah di kedua-dua pihak, dan beliau telah nyatakan perkara itu dengan tegas sejak sekian lama.
"Beliau juga semakin kecewa dengan kedua-dua pihak dalam peperangan ini, dan beliau tidak menyembunyikannya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami