DOS vaksin COVID-19 yang didaftarkan atau disuntik di seluruh dunia sehingga pagi Sabtu melebihi 10.02 bilion.

Menurut data Johns Hopkins University, China mendahului dengan lebih 3 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

Ini diikuti India dengan lebih 1.68 bilion dos, manakala Amerika Syarikat dengan lebih 538 juta dos vaksin.

Sementara itu, Brazil mencatatkan lebih 366 juta dos didaftarkan dan Jepun lebih 207 juta.

Manakala Turki, Jerman dan Mexico mencatat angka melepasi 100 juta dos.

Di Asia Tenggara, Indonesia jauh di hadapan negara lain dengan mendaftarkan 321 juta dos.

Ini diikuti Filipina dengan 127 juta dos vaksin didaftarkan, Thailand 116 juta dan Malaysia 63 juta.

Singapura ketika ini merekodkan lebih 12 juta dos vaksin yang didaftarkan.