NEW York berjaya melepasi jumlah pemberian vaksin lebih 10 juta dos pada hujung minggu lalu.

Menurut Datuk Bandar New York City Bill de Blasio, dalam usaha untuk terus meningkatkan kadar vaksinasi bandar raya itu, mereka yang diterima bekerja di bandar itu perlu membuktikan sijil vaksinasi mereka.

"Kita telah mencapai kejayaan hujung minggu lalu, sangat bangga dengan petugas Jabatan Kesihatan, di hospital, bahagian kesihatan, saringan, pengesanan, dan semua yang terlibat dalam usaha yang luar biasa ini.

"Hujung minggu lalu, kita telah berjaya melepasi angka 10 juta dos vaksin yang diberikan di bandar raya New York dan jumlah itu akan terus bertambah," katanya di pejabatnya di New York City pada Isnin.

BACA: Vaksin COVID-19: New York tawar ganjaran tunai kepada penerima suntikan

BACA: COVID-19: New York anjur konsert rai pemulihan

Justeru, katanya, berkuat kuasa serta merta, setiap pekerja baharu di bandar raya itu perlu membuktikan vaksinasi mereka dan majikan perlu memastikan perkara tersebut.

"Berkuat kuasa serta merta, setiap mereka yang baru sahaja diterima bekerja di New York, sebelum melaporkan diri, mereka perlu mengesahkan vaksinasi mereka.

"Setiap pekerja baharu mesti membuktikan vaksinasi mereka. Jika tidak, mereka tidak boleh mulakan kerja," katanya.

Walaupun dengan kadar vaksinasi yang memberangsangkan, beliau terus menggesa agar orang awam yang sudah melengkapkan vaksinasi mengenakan pelitup muka terutamanya di tempat awam yang tertutup.

"Ini kerana, jika anda berada di sekitar orang yang tidak divaksinasi, atau anda tidak kenal orang di sekeliling anda, anda tidak pasti mereka sudah menerima vaksin atau tidak, atau jika anda tahu ada antara mereka yang tidak divaksinasi, sangat penting untuk anda pakai pelitup muka, walaupun anda telah diberi vaksin," tambahnya.