Skip to main content

Dunia

Wanita Australia gagal rayuan kes bunuh guna cendawan beracun, dihukum penjara seumur hidup tanpa parol

Erin Patterson ketika tiba di Mahkamah Agung Victoria di Melbourne, Australia, 25 Ogos 2025. - Gambar fail/AP
Erin Patterson ketika tiba di Mahkamah Agung Victoria di Melbourne, Australia, 25 Ogos 2025. - Gambar fail/AP

Advertisement

MELBOURNE: Seorang wanita yang disabitkan kesalahan membunuh tiga ahli keluarga menerusi hidangan mengandungi cendawan beracun gagal dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan itu, malah berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Erin Patterson sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun lepas dengan tempoh minimum 33 tahun sebelum layak mendapat parol, selepas disabitkan atas tiga pertuduhan membunuh dan satu pertuduhan cubaan membunuh berkaitan hidangan Beef Wellington yang disediakannya pada Julai 2023.

Pasukan peguamnya mengemukakan tujuh alasan rayuan, termasuk dakwaan bahawa dia tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung pada Jumaat menolak rayuan Patterson, sebaliknya membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengenakan hukuman lebih berat.

Barisan hakim menyifatkan perbuatan Patterson sebagai "amat kejam dan dirancang dengan teliti" serta memutuskan bahawa penetapan tempoh minimum sebelum layak mendapat parol adalah tidak wajar.

Hakim turut menegaskan bahawa perbuatannya wajar "dikecam sekeras-kerasnya".

Susulan keputusan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol terhadap Patterson, sekali gus menyaksikan dia perlu menghabiskan sisa hidupnya di penjara.

Semasa prosiding rayuan, pihak pendakwaan berhujah bahawa hukuman terdahulu terhadap Patterson "jelas tidak setimpal" dengan kesalahannya.

Pihak pendakwaan juga sebelum ini memohon hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol ketika prosiding.

Pada 2023, Patterson menghidangkan Beef Wellington yang mengandungi cendawan beracun kepada bekas mentuanya, Don dan Gail Patterson, serta adik perempuan Gail, Heather Wilkinson serta suaminya, Ian, di kediamannya.

Don, Gail dan Heather meninggal dunia di hospital beberapa hari selepas menikmati hidangan berkenaan, manakala Ian yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal berjaya diselamatkan.

Siasatan mendapati hidangan itu mengandungi cendawan death cap yang sangat beracun.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement