DUNIA
Wanita Hong Kong berusia 58 tahun selamat lahirkan bayi perempuan

Lai-lai itu pernah menarik perhatian orang ramai enam tahun lalu apabila menyambut kelahiran anak pertama pada usia 52 tahun sebagai seorang ibu berisiko.
HONG KONG: Seorang wanita Hong Kong berusia 58 tahun yang sebelum ini mencuri perhatian ramai selepas hamil pada usia lanjut, selamat melahirkan bayi perempuan pada 22 Ogos lalu.
Chan Lai-lai, isteri kepada pelakon tempatan, Brian Wong Chak-fung, menyambut kelahiran anak kedua hasil rawatan persenyawaan in vitro (IVF).
Berita gembira itu dikongsi keluarga mereka di media sosial hujung minggu lalu, sekali gus menerima ribuan ucapan tahniah dan sokongan daripada warganet.
Dalam sebuah video menyentuh hati yang dimuat naik pada Sabtu, Wong dilihat memotong tali pusat bayi di bilik bersalin, menyambut kelahiran cahaya mata baharu dan memperkenalkannya kepada anak sulung mereka berusia enam tahun.Seorang pengguna media sosial menulis: “Anda bukti hidup bahawa melahirkan anak pada usia lanjut bukan masalah. Anda sangat hebat!”
Hamil pada usia lanjut cetus inspirasi dan kebimbangan
Kisah kehamilan Chan pada Mei lalu mencuri tumpuan, memberi inspirasi kepada wanita berusia yang berhasrat memiliki zuriat, namun pada masa sama menimbulkan kebimbangan terhadap risiko melahirkan pada usia lanjut.
Kerajaan Hong Kong sebelum ini memperkenalkan langkah-langkah untuk menggalakkan kadar kelahiran, termasuk membenarkan wanita menyimpan embrio tanpa had masa dan menawarkan potongan cukai kepada mereka yang menjalani rawatan IVF.
Rekod menunjukkan usia median ibu baharu di Hong Kong meningkat daripada 24.4 tahun pada 1976 kepada 32.8 tahun pada 2024.
Perjalanan peribadi keluarga Chan
Pasangan itu berkata, keputusan menimang cahaya mata kedua dibuat kerana anak sulung mereka, lahir pada 2019 ketika Chan berusia 52 tahun, mahukan adik sebagai peneman.
Chan sebelum ini pernah mengalami masalah ekzema kehamilan, tekanan darah tinggi dan pra-eklampsia ketika kelahiran anak pertama.
Untuk kehamilan kali ini, Chan menjalani rawatan IVF di Taiwan selepas mengalami keguguran tahun lalu, dengan kos sekitar HK$200,000 (kira-kira AS$25,700), termasuk suntikan harian di perut.
Risiko kehamilan usia lanjut
Pakar obstetrik dan ginekologi sebelum ini mendedahkan, sekitar seorang daripada lima wanita hamil di Hong Kong kini tergolong dalam kategori usia lanjut, iaitu 35 tahun ke atas, manakala seorang daripada 20 berusia lebih 40 tahun – antara kadar tertinggi di dunia.
Risiko keguguran meningkat sehingga 40 peratus bagi wanita berusia 45 tahun ke atas, manakala risiko bayi mati dalam kandungan bagi wanita berusia 40 tahun ke atas adalah tiga kali ganda berbanding wanita di bawah usia 35 tahun. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami