Warga Nigeria yang menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Singapura disahkan tidak dijangkiti virus Ebola, lapor laman web akhbar The Straits Times.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Tan Tock Seng (TTSH, Prof. Philip Choo memberitahu akhbar itu wanita itu dibenarkan keluar selepas pemeriksaan itu mendapati dia tidak dijangkiti virus berkenaan seperti jangkaan awal.

Wanita itu awal hari ini dipindahkan dari Hospital Gleneagles di republik berkenaan untuk menjalani pemeriksaan di Pusat Penyakit Berjangkit di Hospital Tan Tock Seng.

"Kami memeriksa seorang pesakit yang mempunyai rekod dari Nigeria," katanya seperti dipetik oleh laman web itu. Bagaimanapun rekod berkenaan menunjukkan "dia tidak ada sentuhan dengan mana-mana suspek atau pesakit yang disahkan dijangkiti (Ebola)".

Virus Ebolah kini sedang merebak dengan cepat di Afrika Barat dan dibimbangi boleh merebak ke serata dunia.

Wanita dalam lingkungan umur 50-an itu masuk ke Singapura baru-baru ini dan datang ke bahagian kecemasan Hospital Gleneagles kerana demam pada pagi Khamis.

Dia serta merta diasingkan dan dipindahkan ke Hospital Tan Tock Seng.